Rabu, 5 Mac 2008

TUAN GURU SEDIA TERIMA KEKALAHAN


BERITA HARIAN – (05-03-2008)

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata beliau sedia menerima kekalahan kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum, Sabtu ini jika itu yang dikehendaki rakyat Kelantan.

Nik Abdul Aziz mengakui apa yang dilakukan BN kepada rakyat sepanjang memerintah Kelantan dan negeri lain sejak merdeka adalah melakukan kebajikan tetapi mendakwa usaha itu bersifat keduniaan.

Beliau berharap kekalahan yang mungkin dialami Pas pada pilihan raya ini, mestilah berdasarkan proses pilihan raya yang bersih daripada sebarang penipuan.

"Kalau rakyat Kelantan terima dengan sukarela (Kelantan diperintah BN kali ini), apa kami (Pas) boleh buat. Kami hanya terima dengan perasaan dukacita sajalah, tapi kami tidak akan patah semangat.

"Tapi kalau Kelantan jatuh (dimenangi BN) kerana tipu, saya tak halal satu sen pun duit yang mereka makan. Di akhirat kelak, saya akan dakwa balik orang ini," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mursyidul Am Pas itu mendakwa Kelantan di bawah Pas adalah model negeri kebajikan yang memberi manfaat kepada rakyatnya dari dunia hingga akhirat berbanding negeri di bawah BN.

"Apabila sebut kebajikan, mesti manfaatnya dari dunia sampai akhirat. Kita tak boleh setakat dunia, apa juga benda yang berkait dengan kebajikan, biar berpanjangan sehingga ke akhirat," katanya.

Ditanya sama ada hanya Pas melaksanakan kebajikan dunia dan akhirat untuk rakyat, dan bukan negeri di bawah BN, beliau berkata: "Apabila Kelantan dikuasai parti Islam, tentulah begitu, kalau setakat dunia saja, komunis pun buat kebajikan".

Nik Abdul Aziz mengakui sepanjang 18 tahun Pas memerintah Kelantan, Kerajaan Pusat di bawah BN banyak membawa kemajuan dan pembangunan ke negeri ini termasuk memasukkan Kelantan dalam program pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

"Jambatan, koridor (ECER), semua pembangunan ini dibawa kerajaan Pusat ketika Kelantan di bawah Pas, maka tak ada sebab kita nak undi Umno, undi Umno (BN) pun dia bawa benda ni juga, cuma dia kata nak bawa lebih," katanya.

Ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Akhbar Presiden Pas, Roslan Shahir Mohd Shahir kelmarin bahawa Pas sedia melakukan apa saja tindakan termasuk kekerasan pada pilihan raya ini, hasrat Nik Abdul Aziz untuk menjawabnya dihalang Datuk Husam Musa yang berada di sisinya.

0 ulasan: