Khamis, 6 Mac 2008

HARAKAH : UMNO KELANTAN HARAP 19 KERUSI DUN SAJA, TERIMA KASIH HUSAM KEPADA DR M


HARAKAH – (06-03-2008)

KOTA BHARU, 6 Mac (Hrkh) - Hanya 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja yang diyakini akan dimenangi oleh Umno Kelantan.

Ketika menyatakan maklumat yang beliau perolehi dari bilik gerakan Umno itu, Naib Presiden PAS, Datuk Haji Husam Musa berkata, dari 45 kawasan DUN di Kelantan, Umno menyifatkan tujuh kawasan sebagai kawasan hitam kepada Barisan Nasional (BN).

13 kawasan lagi disifatkan kawasan kelabu kepada Umno manakala enam lagi kawasan kelabu hitam.

"Bagi kawasan Parlimen pula, dua hitam, enam kelabu dan dua kelabu hitam," kata calon kerusi DUN Salor itu dalam sidang media hariannya di sini.

Kelantan mempunyai 14 kawasan Parlimen.

Husam sebelum itu mengucapkan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjangka BN tidak akan dapat merampas kerajaan negeri Kelantan dari PAS.

"Kelantan begitu sukar kerana perbezaan undi begitu kecil, orang-orang Kelantan mempunyai pemikiran sendiri," kata bekas Presiden Umno itu kepada Malaysiakini.

Mei tahun lalu, dalam kenyataan yang dianggap membayangkan kerajaan BN pembohong, Dr Mahathir menyeru rakyat Kelantan supaya tidak terpedaya dengan janji yang ditabur oleh kerajaan pusat yang berjumlah RM3 billion untuk pembangunan lebuhraya dan empangan di Kelantan. Sebaliknya beliau meminta rakyat Kelantan bertanya, mana duitnya?

"Tunjukkan dahulu duit tersebut!"

Bekas Pengerusi BN itu juga dilaporkan berkata, sekiranya ketewasan Umno adalah satu-satunya cara bagi menyedarkan kepimpinan Umno sekarang tentang kelemahan pucuk pimpinan parti, maka, rakyat Kelantan seharusnya memberi undi mereka kepada PAS demi kebaikan negara Malaysia.

Ketika bekas Dr Mahathir membuat kenyataan tersebut, Tengku Razaleigh Hamzah berkongsi pentas dengannya dan duduk sebelah menyebelah.

Bukan itu sahaja, Dr. Mahathir memberi ucapan supaya rakyat menolak kepimpinan Perdana Menteri di atas platform yang dinaungi oleh Tengku Razaleigh sendiri.

Sebab itulah, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengalu-alukan kenyataan Dr Mahathir yang memberi mesej secara jelas yang menggambarkan rakyat wajar terus memberi sokongan kepada PAS di Kelantan

0 ulasan: