UTUSAN MALAYSIA – (19-03-2008)
ISTIADAT mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah menyimpan rahsia menteri dan timbalan menteri yang dilantik dalam Kabinet baru berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara hari ini.
Dengan berlangsungnya istiadat itu bermakna terbentuk sudah sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi lunas dan landasan demokrasi.
Kabinet baru Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi disifatkan sebagai menyahut aspirasi rakyat yang mahukan pembaharuan dalam kerajaan.
Kita percaya sekalipun barisan Kabinet yang diumumkan semalam terdapat ‘kejutan’ selain menampilkan 16 muka menteri baru, ia disifatkan sebagai barisan yang mampu menjanjikan pemerintahan terbaik. Kita juga percaya inilah masanya untuk memberikan peluang kepada tenaga muda sebagai menteri Kabinet.
Gandingan tenaga muda yang dinaikkan pangkat dan tokoh profesional dilantik menganggotai Kabinet diharap memberi kesegaran pada kerajaan Barisan Nasional (BN) kali ini.
Namun, kita patut menghargai sumbangan bekas-bekas anggota Kabinet lalu yang mungkin ‘bersara’ atau ‘direhatkan’ sementara waktu. Ini kerana mereka juga telah menunjukkan prestasi kerja yang baik tetapi Perdana Menteri mempunyai prerogatif tidak melantik mereka kali ini.
Perdana Menteri tentu lebih arif dan lebih maklum mengenai mereka yang dilantiknya. Jika tidak masakan beliau mengambil masa 10 hari untuk mengumumkan barisan Kabinet baru.
Biarpun beberapa menteri bertukar portfolio seperti yang diumumkan tetapi ini tidak dianggap akan melemahkan pemerintahan. Sebaliknya barisan ini lebih bertenaga berbanding sebelum ini.
Langkah itu tepat ketika negara memasuki fasa kedua 50 tahun kemerdekaan negara yang tentunya lebih mencabar dan memerlukan anggota Kabinet yang mampu menyuntik idea baru untuk kemajuan negara.
Kita harap barisan baru ini akan lebih memahami kehendak rakyat.
Kepada anggota barisan Kabinet yang baru dilantik, tanamkan ke dalam pemikiran bahawa mulai sekarang mereka membawa bersama mandat rakyat yang perlu diterjemahkan kepada bentuk perkhidmatan yang terbaik sesuai dengan kehendak dan aspirasi rakyat.
Kini bukan masa untuk mereka yang dipilih membayangkan mahu menikmati keistimewaan yang datang dengan jawatan menteri atau timbalan menteri sebaliknya dalam tempoh lima tahun akan datang mereka mestilah menunjukkan corak atau bentuk perkhidmatan cemerlang yang benar-benar memenuhi kehendak rakyat.
Kepentingan rakyat mesti diutamakan kerana rakyat percaya pemimpin yang dipilih boleh memperjuangkan nasib mereka. Harapan mereka tidak patut dikecewakan setelah semuanya tercapai.
Semua pihak wajar menghormati pilihan yang telah dibuat oleh Perdana Menteri. Ingat, anggota Kabinet dan wakil-wakil rakyat yang dipilih dalam sistem demokrasi negara ini, bererti mereka telah berikrar bekerja untuk rakyat.
0 ulasan:
Catat Ulasan