UTUSAN MALAYSIA – ( 07-03-2008)
PEKAN 6 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi meminta rakyat Kelantan memikirkan masa depan mereka dengan memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk memerintah negeri itu.
Timbalan Perdana Menteri menegaskan, BN telah melakukan yang terbaik dan menunjukkan keikhlasan untuk membangunkan Kelantan.
‘‘Kita telah bentangkan gagasan untuk Kelantan, bukan sahaja peruntukan khas dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), malah kita mewujudkan manifesto khas untuk Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Arked Mara Pekan di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri mengulas peluang BN untuk menawan Kelantan sebelum rakyat keluar membuang undi, Sabtu ini.
Najib berkata, dalam manifesto tersebut, BN menggariskan pelbagai rancangan pembangunan demi kebaikan rakyat negeri tersebut.
Bagaimanapun, katanya, masa depan Kelantan bergantung kepada rakyatnya dan kebijaksanaan mereka membuat pilihan pada Sabtu ini.
‘‘Kita telah buat yang terbaik untuk Kelantan dan terpulang kepada rakyat negeri itu untuk membuat pilihan,’’ katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan