BERITA HARIAN – (07-03-2008)
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) membayangkan peluang cerah menawan Kelantan pada pilihan raya umum esok berdasarkan sambutan menggalakkan terhadap kempen ‘Pakat Kelik Ngundi’ terutama daripada pengundi di kawasan panas.
Ketua Pemuda Umno Kelantan, Dali Hussin (gambar), berkata keyakinan itu bersandarkan kepada pendaftaran tertinggi pengundi melalui kempen itu di enam kawasan yang sebelum ini menunjukkan persaingan sengit antara BN dan pembangkang.
Katanya, enam kawasan terbabit ialah di Parlimen Tumpat, Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok, Machang dan Kuala Krai yang kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi Pas pada Pilihan Raya Umum 2004.
“Jika pada 2004, kawasan itu kebanyakannya dimenangi Pas dengan majoriti sangat tipis, kali ini peluang BN nampak lebih cerah dan selamat. Dulu ramai tak balik mengundi tapi kali ini menerusi kempen ‘Pakat Kelik Ngundi’, ramai akan balik menunaikan hak mereka.
“Kami yakin mereka akan memberi sokongan penuh kepada BN dan menyeru saudara mara serta rakan taulan untuk mengundi BN,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, tidak timbul isu pengundi hantu membabitkan rombongan 100 bas yang akan bertolak dari Bukit Jalil hari ini kerana ia membawa pengundi berdaftar dan sah mengundi di kawasan masing-masing.
Katanya, BN percaya kepada undang-undang serta yakin pihak polis akan memberi sepenuh perhatian bagi memastikan rombongan itu selamat dan tidak diganggu mana-mana pihak dalam perjalanan ke Kelantan.
Beliau menyatakan keyakinan untuk melihat kemenangan BN di Kelantan berdasarkan sambutan menggalakkan dalam setiap program termasuk sesi ceramah di kawasan yang sebelum ini tidak pernah memberi sambutan kepada BN.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Permuafakatan Anak Kelantan Di Perantauan (Muafakat), Hashim Hassan, berkata seramai 21,573 pengundi yang berdaftar melalui kempen ‘Pakat Kelik Ngundi’ akan memulakan perjalanan dari Bukit Jalil ke destinasi masing-masing bermula jam 8.30 pagi hingga 8.30 malam hari ini.
Katanya, selain 100 bas yang akan membawa pengundi, pihaknya juga sudah dimaklumkan ada hampir 10,000 kereta turut digunakan untuk tujuan sama dan kebanyakannya sudah memulakan perjalanan sejak semalam.
“Pihak kami turut menyediakan kemudahan pengangkutan bagi mereka yang tinggal di Shah Alam dan Klang untuk membawa mereka dari Stadium Shah Alam ke Bukit Jalil bermula jam 8.30 pagi esok (hari ini),” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan