Selasa, 18 Mac 2008

JAMINAN PM LEGAKAN RAKYA T KELANTAN


UTUSAN MALAYSIA – (18-03-2008)

KOTA BHARU 17 Mac - Tanggapan bahawa pihak kerajaan gagal memahami sepenuhnya hati generasi muda antara sebab Barisan Nasional (BN) tewas teruk pada pilihan raya umum yang lalu.

Sehubungan itu Ahli Parlimen Jeli, Datuk Mustapa Mohamed berkata, BN akan berusaha menangani masalah itu dengan mendampingi golongan muda bagi memahami minda mereka berhubung suasana politik semasa.

"Golongan muda juga mungkin mahu lebih suara di Parlimen kerana berpendapat sesebuah kerajaan yang terlalu kuat tidak baik untuk negara ini.

"Tetapi mereka tidak sedar dalam konteks Malaysia, sebuah kerajaan yang kuat adalah begitu penting," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat jurugambar akhbar The Star, Sazuki Embong yang dirawat di Hospital Pakar Perdana akibat serangan angin ahmar, di sini hari ini.

Menyentuh kekalahan BN di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-12, beliau berkata, ia bukan kerana rakyat negeri ini menolak usaha membangunkan mereka.

''Mengikut penelitian awal, pimpinan BN turut dilihat jauh dengan rakyat juga menjadi faktor kekalahan selain isu nasional yang mempengaruhi rakyat untuk mengurangkan majoriti dua pertiga BN," ujar beliau.

Beliau seterusnya berharap kerajaan Pas Kelantan membela kepentingan semua golongan masyarakat dan tidak menyisihkan mereka yang mempunyai fahaman politik berbeza.

''Kerajaan negeri harus adil dalam sebarang agihan pemberian faedah atau tanah umpamanya. Tanah adalah isu sensitif, ramai rakyat tidak bertanah, tinggal di tanah milik kerajaan.

''Jadi, saya mahu kerajaan negeri berlaku adil bertepatan prinsip Islam, telus dan membela kepentingan semua rakyat tanpa mengira kefahaman politik," katanya.

Sementara itu kata Mustapa, jaminan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk meneruskan segala projek pembangunan di negeri-negeri dikuasai pembangkang melambangkan sikap keterbukaan dan keikhlasan pucuk pimpinan untuk memajukan rakyat.

Katanya, jaminan oleh Perdana Menteri itu tentunya melegakan hati rakyat termasuk di Kelantan yang disalurkan peruntukan begitu besar dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

''Dengan itu tidak timbul kebimbangan rakyat sama ada projek pembangunan yang dirancang di bawah RMK-9 akan dilaksanakan atau tidak di negeri ini," katanya.

Beliau mengulas jaminan Perdana Menteri itu semasa diwawancara Bernama TV baru-baru ini.

Mustapa yang juga Ketua UMNO Bahagian Jeli berkata, sebagai rakyat, beliau mengucapkan setinggi terima kasih kepada Perdana Menteri yang begitu prihatin biarpun rakyat masih menolak Barisan Nasional (BN).

0 ulasan: