Khamis, 6 Mac 2008

HARAKAH : BERSIH RAMALKAN PRU-12 PALING KOTOR DALAM SEJARAH


HARAKAH – (06-03-2008)

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Hrkh) - Gabungan Pilihan Bersih dan Adil (Bersih) mengingatkan rakyat Malaysia bahawa pilihan raya umum ke 12 pada 8 March ini bakal menjadi satu pilihan raya yang paling kotor dalam sejarah negara.

Ahli Jawatankuasa Bersih Sivarasa Rasiah berkata demikian, ekoran tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan penggunaan dakwat kekal pada hari pengundian nanti.

Katanya, dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, dekat sini, hari ini, pembatalan penggunaan dakwat kekal boleh membantu pengundi hantu beroperasi dengan lebih mudah.

"Kemenangan Kerusi-kerusi yang kritikal seperti di Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Perak mungkin akan ditentukan oleh pengundi hantu," katanya.

Sehubungan itu katanya, Bersih menyeru semua rakyat Malaysia untuk menyertai kempen tandatangan seluruh rakyat Malaysia supaya satu Suruhanjaya Diraja Pembaikan Pilihan Raya ditubuhkan selepas pilihan raya ini.

Kempen itu juga dianjurkan secara online melalui http://www.petitiononline.com/RCER2008/, katanya.

Sementara itu, seorang lagi Ahli Jawatankuasa Bersih yang mewakili PAS, Sabki Yusof berkata, pembatalan tersebut membuktikan wujudnya satu perancangan penipuan dalam proses pilihan raya ini di mana pada hari mengundi nanti wujudnya pengundi-pengundi yang dibenarkan untuk mengundi Barisan Nasional (BN).

"Kerana itulah dibatalkan penggunaan dakwat kekal bagi menghalang pengundi berulang.

"Apabila membatalkan penggunaan dakwat ini membuktikan bahawa SPR memberi ruang seluasnya kepada perancangan untuk membenarkan pengundi mengundi beberapa kali di atas nama pengundi dalam daftar pemilih tertentu.

"Kita kemukakan banyak bukti di mana nama setengah pengundi itu didaftarkan tanpa proses nombor pendaftaran yang betul di mana setengahnya itu dipindah nama daripada negeri-negeri tertentu," katanya.

Sebagai contoh katanya nama yang boleh mengundi sebagai pengundi pos juga mengundi sebagai pengundi awam.

Terdapat juga katanya nama yang sebelum itu mengundi di tempat lain tiba-tiba didaftarkan dan dipindahkan di Terengganu dan di negeri lain yang jauh.

Katanya lagi, nama-nama yang sebelum ini tidak pernah memohon untuk mendaftar mengundi didaftarkan mengundi.

"Saya menerima aduan dari kawan di Dubai bahawa beliau yang tidak pernah mendaftar sebagai pengundi tetapi namanya didaftarkan sebagai pengundi di Marang, Terengganu.

"Ini menunjukkan ada satu usaha untuk mendaftarkan pengundi-pengundi yang ada potensi untuk tidak mengundi," katanya.

Beliau berkata, pengundi-pengundi yang tidak pernah keluar mengundi sebelum ini dikenal pasti sebagai pengundi 'lesap' di mana mereka berdaftar tetapi tidak pernah keluar mengundi.

Ini katanya, dikenal pasti dan menjadi sasaran untuk pengundi-pengundi hantu mengundi bagi pihak mereka.

Sehubungan itu, katanya beliau percaya, pembatalan berkenaan memudahkan lagi operasi bagi pengundi hantu mengundi bagi nama-nama yang tentunya tidak keluar mengundi.

Turut sama dalam sidang media tersebut ialah, Teresa Kok (DAP), Yap Swee Seng (Suaram), Faizal Mustafa (KeADILan) dan lain-lain.

0 ulasan: