Sabtu, 15 Mac 2008

MELAYU MENYESAL SOKONG DAP, CINA MENYESAL SOKONG PAS?

HARAKAH – (15-03-2008)

Melihat apa yang berlaku di Perak, ada orang Melayu sudah mula menyesal mengundi DAP. Begitu juga dengan orang Cina yang mengundi PAS.

Itulah masalahnya apabila rakyat Malaysia sudah terlalu biasa dengan sistem Barisan Nasional (BN) yang sebenarnya suatu tidak normal dalam amalan demokrasi. Dalam perhatian rakyat kepada apa yang berlaku di Perak, Selangor dan Pulau Pinang, orang lupa tentang masalah yang dihadapi oleh BN untuk membentuk kerajaan di Perlis dan Terengganu walaupun mereka tidak perlu menubuhkan kerajaan campuran.

BN juga bermasalah, cuma ia berlaku secara tertutup. Sebaliknya apa yang berlaku di antara DAP, PAS dan PKR diketahui umum dan secara terbuka. Tambahan pula media yang dikuasai BN mengambil kesempatan dalam kesempitan parti pembangkang. Sedangkan apa yang dihadapi oleh PAS, DAP dan PKR ketika menubuhkan kerajaan campuran adalah suatu perkara biasa yang berlaku di seluruh dunia.

Penubuhan kerajaan campuran merupakan dinamika poilitik demokrasi normal. Sementara sistem BN dengan parti-partinya tunduk di bawah UMNO adalah suatu yang tidak normal, dan akhirnya mendatangkan kebekuan dalam politik di negara ini.

Justeru apa yang berlaku di Perak adalah suatu yang sihat. Perbahasan terbuka mengenai kehendak parti-parti yang terlibat dan akhirnya diharapkan akan mencapai kesepakatan. Ia bukan suatu yang tidak stabil, tetapi merupakan sebahagian daripada proses demokrasi. Malah ia lebih baik berlaku sekarang, sebagai suatu latihan dan pelajaran bagi parti-parti pembangkang dalam persediaan untuk menubuhkan kerajaan persekutuan jika rakyat memerlukannya pada suatu hari kelak.

Ketinggalan zaman

Sistem BN sudah ketinggalan zaman dan tidak menepati aspirasi rakyat. Pada mulanya ia dibentuk sebagai kerajaan campuran Perikatan-Pas. Kemudian ia diperluaskan menjadi Perikatan-Gerakan-PPP. Akhirnya ditubuhkan BN yang muncul dalam bentuk UMNO sebagai parti dominan.

Sedangkan dalam kerajaan campuran, tidak ada parti yang dominan. PAS, DAP dan PKR adalah setaraf. Kekuatan mereka hanya bergantung kepada bilangan kerusi yang diperolehi. Sebagai kerajaan-kerajaan baru di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor sudah tentu akan berlaku pelbagai kesilapan. Tetapi pengundi tidak harus menyesal kerana pilihan raya umum ke-12 membuka lembaran baru kepada cara berpolitik yang lebih demokratik dan adil. Tidak ada patah balik. Walaupun mungkin BN boleh memperbaiki diri dan memenangi semula beberapa kerusi yang ia terlepas, tetapi rakyat negara ini tidak wajar pandang ke belakang. Sesungguhnya BN sudah bobrok dan perlu diganti untuk dirawat. Ia mesti menyesuaikan dengan iklim baru politik.

Seperti di Indeonsia, Golkar yang zaman Suharto menguasai negara itu perlu menyesuaikan diri dengan zaman reformasi di mana politik adalah terbuka.

Pengalaman ini juga berlaku di Taiwan, Jepun, malah di Rusia. Di Taiwan, Kuomintang menyesuaikan diri dan kini mampu mencabar Parti Progresif Demokratik (DPP) yang memerintah. Begitu juga dengan Parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun dan Parti Komunis Rusia yang menguasai parlimen tetapi gagal menjadi presiden.

Umno dan BN mungkin tidak pupus tetapi mereka mesti berubah.

Mungkin akan makan masa lebih lama dan dalam perjalanan itu, mereka mampu menang semula mengatasi PAS-DAP-PKR, tetapi sempadan minda rakyat negara ini telah diterobos. Pembangkang mampu menubuhkan kerajaan.

Akan sampai masanya, PKR, PAS dan DAP terpaksa bertelagah dalam menbubuhkan kerajaan persekutuan setelah menang majoriti di negara ini. Pada masa itu, pengalaman di Perak amat berguna.

Kekuatan tersendiri

PKR, PAS dan DAP sebagai parti berasingan mempunyai kekuatan sendiri berbanding dengan BN yang tergabung dalam parti. Apa yang menjadi kemarahan orang Cina kepada MCA dan gerakan adalah kelemahan mereka ketika berdepan dengan Umno. Perkara itu tidak akan berlaku dalam kerajaan pembangkang. Ini kerana DAP adalah setaraf dengan PKR dan PAS. Mereka boleh menyuarakan aspirasi kaum Cina tanpa bimbang diperlekehkan.

Sementara PAS pula juga berdiri setaraf dengan PKR dan DAP.

Ketika PAS berada dalam BN, ia hanya mampu memiliki Menteri Besar di Kelantan. Tetapi dalam kerajaan campuran PAS-DAP-PKR, bukan saja PAS berpeluang menjadi Menteri Besar di Kelantan dan Kedah, tetapi juga di Perak. Justeru pada masa akan datang, parti kecil juga berpeluang menerajui pucuk pimpinan mana-mana negeri, mengikut kesesuaian politik semasa.

Selain itu setiap parti, PAS, DAP dan PKR tidak berasaskan kaum walaupun PAS adalah parti satu agama, DAP pula keahilannya adalah dominant Cina.

Tetapi seseorang Cina Islam boleh menyertai PAS, sementara seorang Melayu boleh menyertai DAP. Tidak seperti BN, hanya Gerakan dan PPP yang berbilang kaum.

Banyak pengulas yang menekankan perbezaan ideologi antara DAP dan PAS, sambil menggambarkan bahawa DAP dan PKR tidak mempunyai perbezaan ideologi.

Tetapi jika diteliti perjuangan ketiga-tiga parti mereka mempunyai lebih banyak persamaan daripada perbezaan. Perjuangan menentang rasuah, persamaan antara kaum, membela orang terpinggir adalah serupa dan menjadi tonggak perjuangan. Perkara ini tidak begitu dilaungkan oleh BN kerana mereka tidak berupaya melakukannya.

Tidak wajar menyesal

Dalam hal ini, pengundi tidak wajar menyesal mengundi PAS-DAP-PKR kerana perjuangannya adalah jauh lebih bersih daripada BN. Sebaliknya pengundi-pengundi BNlah yang perlu menyesal. Ini kerana tindak-tanduk BN selepas pilihan raya melihatkan mereka sombong, pendendam dan enggan berubah.

Mereka mencari sebab kekalahan atas perkara-perkara kaedah seperti soal strategi dan calon. Sedangkan apa yang menimpa BN ialah kelemahan asas perjuangannya.

Selama ini ia mampu menang adalah kerana kekuatan jentara dan strategi, dan kurang atas sebab asas perjuangan.

Dr. Mahathir Mohamad menyalahkan Abdullah Ahmad Badawi kerana kekalahan BN ini, tetapi jika diteliti tentang apa yang dialami oleh BN dalam pilihan raya umum ke-12 ini, ia merupakan lanjutan kepada kesilapan Dr Mahathir.

Orang kata dua kesilapan Dr Mahathir ialah pemecatan Anwar dan pelantikan Abdullah.

Tetapi hakikatnya kesilapan Dr Mahathir ialah kegagalan untuk berubah dan reformasi. Beliaulah yang mengecilkan ruang demokrasi bukan saja dalam negara tetapi dalam Umno. Pemilihan parti ditangguhkan hingga Umno tidak dapat memperoleh pemimpin yang baik. Amalan serupa itu dituruti oleh Abdullah, maka calon yang diletakkan oleh BN dalam pilihan raya umumn ke-12 itu merupakan hasilnya.

0 ulasan: