Jumaat, 7 Mac 2008

HARAKAH : MURSYIDUL AM SARAN KERJA GIGIH PERTAHAN NEGERI ISLAM


HARAKAH – (07-03-2008)

KOTA BHARU, 6 Mac (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menyarankan ahli dan penyokong parti bekerja lebih gigih bagi mempertahankan kerajaan Islam memandangkan pihak lawan menggunakan pelbagai taktik bagi merampas negeri ini.

“Penyokong PAS perlu supaya bekerja lebih kuat dengan segenap tenaga yang ada bagi mempertahankan kepentingan Islam

“Ini kerana kita tubuh parti Islam, namun orang Melayu yang mengaku beragama Islam melawan kita. Malulah orang Melayu yang melawan parti Islam,” katanya ketika merasmikan Masjid Al-Mukminin Tanjong Mas di Tanjong Mas dekat sini, baru-baru ini.

Beliau juga melahirkan rasa tidak faham mengapa orang Melayu beriya-iya hendak melawan parti yang membawa wadah Islam.

“Dalam konteks Kelantan, orang Melayu Islam tidak perlu menentang PAS kerana kita membawa mesej Islam yang diwajibkan oleh Allah Taala. Biarlah kuffar saja menentang perjuangan Islam,” katanya.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang Melayu yang berada dalam Umno supaya berfikiran waras dan menilai semula perjuangan mereka sama ada menepati kehendak agama atau tidak.

Menurutnya juga golongan ulama memain peranan penting bagi membentuk acuan kehidupan masyarakat mengikut acuan Islam.

“Malah pada peringkat awal, calon PAS yang bertanding di Kelantan terdiri dari kalangan tok-tok guru dan ulama. Kini hasil keilmuan mereka menyebabkan masyarakat memahami Islam,” ujarnya.

Hadir sama pada program itu calon PAS bagi Parlimen Kota Bharu, Dato’ Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan calon Dun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim.

Masjid Al-Mukminin dibina pada 30 Julai lalu di atas tanah yang diwakafkan penduduk tempatan, Allahyarham Sepiah Abdul Rahman. Kos pembinaanya RM60,500.

0 ulasan: