UTUSAN
JOHOR BAHRU 5 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kini berada di landasan yang betul dengan mewujudkan pelbagai wilayah pembangunan ekonomi di seluruh negara.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata, setelah hampir lima tahun menerajui kerajaan Barisan Nasional (BN), Abdullah sebenarnya mempunyai satu pendekatan dan stail yang berbeza berbanding pemimpin-pemimpin lain.
Sebagai contoh, katanya, Perdana Menteri telah memilih Johor untuk mewujudkan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang kemudian disusuli Wilayah Ekonomi Koridor Utara dan seterusnya Wilayah Ekonomi Pantai Timur.
“Kalau kita amati perancangan yang dilakukan Pak Lah, ia amat teratur dan molek sekali yang mana setiap peringkat akan mengecapi nikmat,” katanya kepada Utusan
Musa yakin apabila projek-projek pembangunan di WPI bermula, pelbagai sektor akan menawarkan pekerjaan kepada penduduk setempat.
“Dengan adanya peluang-peluang pekerjaan di WPI, ia bermakna warga kita tidak perlu lagi awal-awal pagi merentasi Tambak Johor untuk ke Singapura dan kembali ke rumah lewat malam kerana WPI akan menawarkan lebih 600,000 peluang pekerjaan.
“Ini secara tidak langsung membolehkan kita menikmati mutu kehidupan yang lebih berkualiti dan secara langsung menangkis tuduhan-tuduhan liar yang mengatakan kewujudan WPI menyebabkan Johor tergadai kepada negara asing,” katanya.
Mengenai isu setinggan, kata Musa, WPI menyelesaikan masalah tersebut apabila kerajaan menyediakan pelan perancangan baik dengan menempatkan mereka di penempatan yang selesa menerusi Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).
“Saya dimaklumkan sedikit masa lagi kawasan Parlimen Pulai yang merangkumi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas dan DUN Pengkalan Rinting akan menjadi sifar setinggan apabila semua penghuni di kawasan itu ditempatkan di PPRT Kempas dan PPRT Sungai Melana,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan