Jumaat, 7 Mac 2008

'ANWAR TENGGELAM PUNCA'


UTUSAN MALAYSIA – ( 07-03-2008)

KUALA LUMPUR 6 Mac – Para pemimpin Barisan Nasional (BN) menyifatkan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim memburukkan negara sendiri di Singapura sebagai berunsur penderhakaan kepada negara.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau kesal dengan tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kerana ini bukan kali pertama beliau berbuat demikian di luar negara.

‘‘Saya menyifatkan kenyataan Anwar itu berunsur penderhakaan. Beliau tidak mempunyai semangat cintakan negara dan sebab itu beliau sanggup memburukkan imej Malaysia di negara asing,” katanya.

Seorang lagi Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, Anwar bukan sahaja tiada semangat cintakan negara malah sanggup menjadi permainan bangsa asing.

‘‘Anwar mana yakin dengan Malaysia. Baginya, Malaysia tidak bagus, Singapura bagus... Malaysia tidak bagus, Tamil Nadu bagus. Inilah orang berjiwa yang tunduk kepada penjajah,” katanya.

Pada sidang akhbar yang dihadiri 50 wakil media antarabangsa di Singapura semalam, Anwar antara lain memperlekehkan perjalanan pilihan raya di Malaysia dan cuba menjatuhkan kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan Anwar menunjukkan beliau sudah tenggelam punca untuk meraih sokongan dalam perjuangan peribadi.

Menurut beliau, kerakusan Anwar itu terbukti apabila beliau menyelitkan gambarnya pada setiap poster calon PKR seolah-olah beliau bertanding pada pilihan raya kali ini.

“Ini membuktikan bahawa perjuangan sebenar PKR hanyalah kepentingan peribadi Anwar yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri.

“Saya menasihati sesiapa yang belum mengenali Anwar agar tidak terpengaruh dengan retorik dan hujah palsunya,’’ kata Hishammuddin dalam satu kenyataan di Kluang hari ini.

Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula berkata, tindakan Anwar memburuk-buruk negara kepada dunia luar adalah satu perbuatan yang tidak boleh dimaafkan.

Ahmad Zahid yang pernah menjadi penyokong kuat Anwar menegaskan, tuduhan-tuduhan liar Anwar terhadap perjalanan pilihan raya di negara ini mendapat liputan meluas dalam media asing dan perbuatan itu mencemarkan nama negara.

“Walaupun saya pernah bersama dengan beliau tetapi jika beliau terus-terusan mengambil tindakan sebegini... saya harap ini akan menimbulkan kesedaran kepada pengikutnya,” kata Ahmad Zahid.

“Kalau mahu berpolitik biarlah berpolitik dalam negara, jangan burukkan imej negara di luar, tambahan pula kita sudah berada di ambang hari mengundi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan calon BN Parlimen Bagan Datoh dengan veteran UMNO hari ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pula menyifatkan Anwar sudah melampaui batas dan langsung tidak menghormati negara apabila memperlekehkan imej Malaysia di Singapura.

‘‘Orang yang cuba memusnahkan negara sepatutnya dikenakan hukuman. Anwar mencemarkan imej negara sendiri. Kita tidak boleh terima cara kotor sebegini,” katanya ketika dihubungi.

Bagi calon BN Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad, Anwar sememangnya tidak boleh dipercayai kerana sanggup mengorbankan prinsip ekonomi yang dipegangnya untuk mencari sokongan dan kuasa.

‘‘Sekarang beliau berkempen supaya subsidi ditambah, jadi macam mana kita boleh percaya kepada orang macam ini,” katanya.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Chan Kong Choy pula terkilan kerana Anwar sanggup menjadikan negara lain sebagai platform untuk menghentam negara ini.

‘‘Pemimpin jenis inikah yang ditawarkan pihak pembangkang kepada rakyat?’’ katanya pada satu sidang akhbar.

Naib Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat yang turut terkejut dengan tindak-tanduk Anwar itu berkata, rakyat perlu menolak Anwar dan parti pimpinannya.

‘‘Dia sengaja nak buka pekung di dadanya sendiri dan dia mahu mencari alasan kepada kekalahan yang bakal menimpa,’’ katanya ketika dihubungi.

Bekas Naib Presiden PKR, Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak pula meminta Anwar menilai dirinya terlebih dahulu sebelum mengkritik orang lain.

‘‘Saya jijik jika seorang itu terlalu memburukkan orang lain kerana diri sendiri belum tahu baik atau tidak,’’ katanya.

0 ulasan: