HARAKAH – (19-03-2008)
KUALA LUMPUR, 19 Mac (Hrkh)- Rakyat patut memuji kepimpinan Kerajaan dan rakyat Kelantan kerana dikenali dengan kematangan politik mereka malah ketika media yang bongkak menghina mereka sebelum pilihanraya berlaku, mereka telah mampu merentasi pilihanraya dengan jayanya.
Demikian antara petikan pendapat Mufti Perlis Dato' Dr Mohd Asri Zainul Abidin tentang Kerajaan Barisan Alternatif (BA) yang yang baru dibentuk di lima negeri setelah menang besar dalam pilhan raya umum lepas.
"Di kala negeri-negeri lain masih dalam kekalutan, Kelantan tenang dan damai dengan keputusan yang dibuat oleh rakyatnya.
"Mudah-mudahan itu sebagai tanda bahawa Islam yang dilaungkan di Kelantan benar-benar mendapat keberkatan Allah," katanya dalam laman web drmaza.com.
Katanya bumi Kelantan adalah antara benteng-bentang umat Islam di negara ini yang mana menjadi kewajipan kepada seluruh muslimin terus membantu hasrat Islam yang dilaungkan, selagi zahirnya bertunjangkan kepada keikhlasan dan bukan bertujuan politik semata.
Sementara itu mengulas kerajaan PAS Kedah, beliau menyatakan harapan umum agar prinsip-prinsip siasah Islam yang menekankan soal keadilan dan kemaslahatan rakyat dalam dasar dan perlaksanaan benar-benar dapat dihayati.
"Pegangan 'siasah untuk maslahah ummah' amat penting agar tidak timbul sama sekali unsur politik membalas dendam.
"Kita berdoa agar prinsip-prinsip Islam yang damai, harmoni lagi adil dapat dikecapi oleh rakyat Kedah menerusi kerajaan mereka yang baru,"katanya
Beliau dilihat yakin dengan kepimpinan Menteri Besar Kedah yang baru supaya dapat menonjolkan ciri-ciri kematangan politik yang baik di peringkat awal pemerintahannya.
Dr Asri juga percaya keperibadian yang baik Menteri Besar Perak yang baru bakal mengundang pertolongan Allah untuk pentadbirannya.
Sementara itu bagi kerajaan baru Selangor katanyaa berhadapan dengan situasi yang amat sengit memandangkan ianya sebuah negeri maju dan memilik rakyat yang mungkin bersikap lebih sensitif dan kritis.
"Kedudukan Selangor yang terdedah kepada dunia yang lebih terbuka, menjadikannya kayu pengukur golongan cerdik pandai sejauh manakah slogan golongan pembaharuan politik ini dapat direalisasikan.
"Nampaknya tawaran-tawaran Kerajaan Baru Selangor mampu menzahirkan prinsip pemerintah mengutamakan rakyat seperti yang menjadi teras siasah dalam Islam," katanya.
Beliau amat berharap ketelusan dan kejujuran akan menjadikan kerajaan baru Selangor lebih unggul dibandingkan kerajaan sebelum ini.
"Laksanakanlah keadilan dan ketelusan, di situlah akan lahirnya cinta rakyat dan keberkatan Allah.
"Jangan ulangi segala bentuk penyelewengan dan kebongkakan yang pernah dilakukan oleh mereka yang lain sebelum ini, kerana pada bongkak, sombong dan tidak telus itu mengundang kebencian rakyat dan kemurkaan Allah," kata Mufti itu menasihati kepimpinan kerajaan BA yang baru.
0 ulasan:
Catat Ulasan