Jumaat, 7 Mac 2008

MASA UNTUK PAS SUDAH MEMADAI


UTUSAN MALAYSIA – ( 07-03-2008)

GUA MUSANG 6 Mac – Rakyat Kelantan perlu membuat perhitungan bijak dengan memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum Sabtu ini supaya nasib mereka lebih terbela.

Calon BN bagi kerusi Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan, kerajaan BN telah membuktikan bahawa setiap janjinya tetap ditunaikan kerana ia bukan sekadar mahu berkuasa tetapi berbakti.

Menurut beliau, kuasa menukar kerajaan negeri terletak di tangan rakyat dan memadailah masa yang diberikan kepada Pas kerana parti itu tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif.

“Rakyat Kelantan akan dapat melihat perubahan yang dilakukan kerajaan BN sekiranya diberi kepercayaan untuk memerintah Kelantan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis Penyampaian Sijil Pelantikan dan Pengesahan Jawatan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) bagi Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 1, 2, 4, Chalil dan Lebir di Dewan Orang Ramai RKT Kesedar Chalil dekat sini semalam.

Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu yakin rakyat akan memberi sokongan kepada BN kerana mereka sendiri kerap menyuarakan kebimbangan terhadap lebih banyak masalah sekiranya Pas terus berkuasa.

Tengku Razaleigh berkata, peneroka di RKT Kesedar juga seharusnya memberi sokongan penuh kepada BN kerana mereka berpeluang tinggal di tanah rancangan itu yang dibangunkan hasil daripada perjuangan pemimpin BN.

“Saya tidak mahu ada peneroka yang tidak berterima kasih dengan menentang BN yang telah membawa banyak kemajuan untuk dinikmati.

“Malah banyak lagi perancangan yang sedang disusun oleh Kesedar untuk membangunkan mereka termasuk rumah bagi menempatkan generasi kedua dan pemilikan tanah,” katanya.

0 ulasan: