Khamis, 2 Jun 2011

DAP REKRUT ORANG MELAYU - UTUSAN 020611


AKHBAR Sin Chew Daily terbitan 26 Mei 2011 menyiarkan artikel mengenai langkah DAP merekrut lebih ramai orang Melayu dan cadangannya untuk meletakkan mereka sebagai calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

Artikel ditulis, Liew Soon Yong bertajuk ‘DAP akhirnya hadapi kenyataan’ disiarkan dalam ruangan Sudut Pendapat di halaman 36.

Menurut beliau, langkah itu seperti yang didedahkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memang benar-benar berlaku dan ia bertujuan membolehkan calon Melayu DAP menjadi Menteri Besar.

Ketika PRU Ke-12, DAP menang 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak. Parti itu menyesal kerana tiada seorang pun orang Melayu menjadi calonnya di negeri berkenaan sehingga ia terpaksa akur dengan Perlembagaan negeri dan menyerahkan jawatan Menteri Besar kepada Pas yang hanya menang enam kerusi.

Perkara sama berlaku di Selangor, apabila DAP yang menang 13 kerusi DUN, kurang dua kerusi daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mendapat jawatan Timbalan Menteri Besar, kerana terdapat sekatan di dalam Perlembagaan negeri.

Langkah berkenaan juga adalah bagi membolehkan calon DAP dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri memandangkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini secara terbuka menentang Penasihat DAP, Lim Kit Siang dilantik ke jawatan itu dengan alasan beliau bukan orang Islam dan berketurunan Melayu.

Selain menerima kenyataan bahawa DAP perlu mendapatkan kerjasama orang Melayu untuk berkuasa, langkah itu turut membuktikan parti berkenaan tidak mahu terus dibelenggu oleh PKR dan Pas, sebaliknya berhasrat menjadi sebuah parti yang benar-benar mantap dan berkuasa penuh.

Dalam pada itu, DAP tidak mahu terus dibayangi dengan kemenangan 12 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-10, yang majoriti pengundinya adalah kaum Cina.

Kemenangan di kawasan yang pengundinya mempunyai warna kulit sama dengan kebanyakan pemimpin DAP adalah tidak selaras dengan apa yang dilaungkan oleh DAP iaitu parti itu adalah untuk semua kaum.

Bagaimanapun, langkah DAP untuk merekrut lebih ramai orang Melayu nampaknya tidak menunjukkan perkembangan memberangsangkan. Perkara itu, diakui sendiri Naib Presidennya, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Sebenarnya, bukan mudah untuk DAP berbuat demikian kerana ia terpaksa berebut-rebut dengan PKR dan Pas yang turut berkempen untuk menambah keahlian.

Satu masalah lain adalah bagaimana DAP hendak memastikan calon-calon Melayu yang diletaknya pada PRU Ke-13 akan menang.

Jika ini tidak berjaya dibuat, nasib DAP akan sama seperti parti-parti Cina lain dalam Barisan Nasional (BN) yang hanya bertakhta tetapi tidak berkuasa.