Khamis, 20 Mac 2008

JAWATAN KABINET - JAWATAN UMNO


UTUSAN MALAYSIA – (19-03-2008)

BANYAK pemimpin besar UMNO terkejut dan kecewa apabila tidak dipilih menganggotai Kabinet Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Faktor utama sudah tentu kerana mereka awal-awal lagi kecundang untuk menghadiahkan kerusi Parlimen kepada BN akibat dipukul gelombang tsunami politik di Semenanjung. Jadi adalah tidak wajar nama mereka dipertimbangkan.

Dengan ramai tenaga muda dan tokoh berpengalaman tewas, maka 74 ahli Parlimen yang UMNO ada itu sahaja menjadi tilikan dan perhatian Perdana Menteri.

Adalah sukar untuk membuat pilihan jika yang ada tidak ramai, berbanding dengan 107 Parlimen milik UMNO pada 2004. Malah mengambil kira mesej daripada pengundi yang menolak calon-calon UMNO/BN sama ada muka baru atau yang berjawatan menteri, timbalan menteri, setiausaha Parlimen serta pemimpin peringkat kerajaan negeri, Perdana Menteri wajar membuat pilihan yang terbaik dan memenuhi aspirasi rakyat.

Di samping itu, tokoh-tokoh UMNO yang menang pun, bukan semua boleh diambil semula. Ingat, rakyat akan mempersoal kenapa mereka yang sudah lama dalam Kabinet atau ada liabiliti menjejaskan imej parti masih dipilih.

Sebab itu ada kejutan dalam senarai Kabinet Perdana Menteri yang menaikkan pangkat dan membawa tokoh profesional menjadi menteri.

Tetapi, paling menjadi tumpuan kenapa mereka yang belum diuji terus dinaikkan pangkat menjadi menteri tanpa mengikut hierarki politik jawatan Kabinet. Dan kenapa ada yang sudah lebih dua penggal menjadi timbalan menteri tidak dinaikkan pangkat. Malah setakat ini dua telah menolak pelantikan semula.

Persoalan begini tidak payah ditanya kerana ia hak prerogatif Perdana Menteri.

Dengan jawatan Kabinet semakin mengecil dan banyak jawatan kerajaan negeri terlepas kepada pihak Pas dan PKR, apakah hari ini, pemimpin UMNO yang pernah punya jawatan kerajaan itu masih punya pengaruh dan cakap mereka terus diterima oleh akar umbi UMNO di negeri masing-masing. Atau pengaruh mereka ke atas akar umbi UMNO sudah beralih arah?

Ataupun, adakah mereka yang tidak dilantik sudah dapat menerima mesej tersurat dan tersirat Presiden UMNO.

Ogos depan dijangka akan berlangsung satu lagi ‘pilihan raya’ peringkat UMNO. Dalam amalan UMNO, biasanya mereka yang ada jawatan dalam kerajaan akan mendapat kelebihan untuk merebut kerusi Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Kalau konsep parti menguasai kerajaan diperjuangkan UMNO, mesti ada pemisahan supaya seorang pemimpin tidak memegang kedua-dua jawatan dalam parti dan kerajaan. Tetapi biasanya ini tidak berlaku.

UMNO kena contohi MCA yang mana pemimpin utama hanya memegang jawatan dalam parti manakala Kabinet diserah kepada muka baru. Mereka mahu perkuatkan sokongan kepada MCA.

Sesungguhnya UMNO perlu kembali kuat dengan pemimpin yang berani memperjuangkan agenda Melayu, Islam dan tanah air.

Orang Melayu amat berharap UMNO kembali kepada perjuangan asal yang membela mereka dalam erti sebenar.

0 ulasan: