Khamis, 6 Mac 2008

PENYEBAB EKONOMI NEGARA JATUH


UTUSAN MALAYSIA – (06-03-2008)

MELAKA 5 Mac – Sikap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering mencetuskan spekulasi menjadi salah satu penyebab kejatuhan ekonomi negara pada 1997.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, Anwar ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri telah bertindak mencetuskan spekulasi sehingga menyebabkan pasaran saham di Bursa Saham Malaysia melonjak.

“Bagaimanapun, perbuatan itu hanya menguntungkan kumpulan tertentu hingga akhirnya menyebabkan pasaran merudum,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kerja-kerja pembinaan Bangunan Gunasama Persekutuan Melaka Tengah, di MITC Ayer Keroh di sini hari ini.

Mohd. Ali berkata, akibat kejatuhan ekonomi itu, Anwar cuba mendapatkan bantuan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tetapi dihalang oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri pada masa itu.

Tegas beliau, Anwar juga tidak melakukan apa-apa untuk membantu kaum Cina dan India termasuk tiada memberikan sebarang bantuan untuk sekolah jenis kebangsaan sepanjang beliau menjadi Menteri Pelajaran dahulu.

“Saya tanya, mana sekolah Cina yang dia tolong? Mana sekolah India yang dia tolong? Tetapi mereka tidak dapat tunjukkan. Dia tidak pernah tolong apa-apa melainkan untuk diri sendiri sahaja,” katanya.

Mohd. Ali yang juga Naib Presiden UMNO berkata, perjuangan Anwar adalah untuk kepentingan peribadi semata-mata dan bukan untuk rakyat.

Ini dibuktikan apabila isterinya, Datin Seri Wan Azizah Ismail sanggup melepaskan kerusi Parlimen Permatang Pauh jika beliau memenanginya dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, Sabtu ini bagi memberi ruang kepada Anwar bertanding dalam pilihan raya kecil.

“Dia juga menggunakan Pas untuk memastikan misinya tercapai dan Pas pula sekarang bukan lagi berjuang untuk Islam tetapi untuk PKR dan DAP,” ujarnya.

“Pas jadi alat PKR dan DAP. Apa yang DAP dan PKR cakap dia sokong, termasuk menyerahkan kerusi,” katanya.

0 ulasan: