UTUSAN MALAYSIA – ( 07-03-2008)
ESOK, kuasa menentukan calon wakil rakyat seterusnya parti yang akan memerintah negara dikembalikan semula kepada rakyat.
Bagaimana bentuk kepercayaan yang akan diberikan oleh rakyat nanti, akan menentukan apakah yang bakal berlaku kepada negara sekurang- kurangnya bagi tempoh lima tahun akan datang.
Siapa pun yang bakal menjadi pilihan, ia seharusnya melepasi piawaian dan pertimbangan yang wajar daripada rakyat secara keseluruhannya.
Pertimbangan itu pula tidak harus disandarkan kepada janji-janji sepanjang 13 hari tempoh berkempen semata-mata, sebaliknya rakyat perlu melihat dan menilai dengan minda yang lebih terbuka luas.
Bagi Barisan Nasional (BN), tempoh 13 hari berkempen sebenarnya bukanlah satu jangka masa yang memadai untuk mereka mengajak rakyat keseluruhannya mengimbau apa yang telah dilakukan dalam membentuk negara Malaysia seperti yang wujud hari ini.
Tempoh itu juga terlalu singkat untuk membuka buku perancangan dan strategi yang telah direncanakan oleh BN untuk ditatap, bukan hanya untuk rakyat hari ini, malah kepada generasi-generasi akan datang.
Jika penilaian seperti itu diambil kira, kita pastinya bersetuju, masa depan negara dan nasib rakyat keseluruhannya bukanlah satu perkara yang boleh diperjudikan dengan satu percubaan.
Apatah lagi dengan memberi kuasa kepada parti yang langsung tidak berpengalaman dalam urusan pentadbiran negara, atau sekadar memerintah satu negeri sahaja.
Dengan rekod kerja yang ditunjukkan oleh parti BN sepanjang 50 tahun mengemudi negara, tidak ada sebab untuk rakyat yang dilimpahi dengan pelbagai rahmat berpaling sokongan kepada pembangkang.
Apatah lagi di kalangan pembangkang sendiri, tidak ada elemen kekuatan baik yang ditonjolkan oleh pemimpin apatah lagi agenda atau manifesto pembangunan yang lebih sekadar janji di atas kertas semata-mata.
Sebuah negara yang dikongsi oleh pelbagai kaum terutamanya tiga kaum utama Melayu, Cina dan India juga memerlukan sebuah parti pemerintah yang diwakili dan dikongsi oleh semua kaum tersebut.
Dengan cara ini, kepentingan setiap kaum dan agama dapat diberi perhatian seiring dengan kemajuan berbentuk fizikal yang turut terbentang untuk dinikmati oleh rakyat, juga secara adil dan saksama.
Politik yang diperjuangkan kini adalah satu bentuk permuafakatan dan perjalanan membina sebuah bangsa dan tamadun yang berjaya dan dikongsi secara bersama oleh pelbagai kaum dan agama.
0 ulasan:
Catat Ulasan