BERITA HARIAN – (07-03-2008)
KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam mendakwa tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan penggunaan dakwat adalah untuk membolehkan pengundi berulang kali mengundi pada pilihan raya umum esok.
“Saya cukup ragu. Ini menampakkan SPR ada rancangan hendak menyuruh orang mengundi dua atau tiga kali. Tentu dalam kepala mereka ada niat jahat.
"Saya sendiri ada pengalaman ketika belajar di India. Saya mengundi menggunakan dakwat yang tidak hilang dalam masa seminggu. Sepatutnya penggunaan dakwat dilaksanakan, tetapi tiba-tiba ditarik balik," katanya selepas majlis Pelancaran Madinatur Raudhah dan Bazar Tok Guru, di sini, semalam.
Kelmarin, Nik Abdul Aziz berkata, beliau menerima hakikat SPR membatalkan cadangan calitan dakwat pada kuku pengundi pada pilihan raya umum esok.
Malah, beliau berkata, Pas menerima keputusan SPR itu dengan tenang dan meminta semua penyokongnya supaya turut menerima keputusan itu tanpa menimbulkan sebarang masalah.
Selasa lalu, SPR memutuskan untuk membatalkan cadangan menggunakan tanda dakwat pada pilihan raya umum nanti berdasarkan nasihat dari segi perundangan selain aspek ketenteraman dan keselamatan awam.
Ia dibuat selepas polis mendapati ada pihak tidak bertanggungjawab membeli dakwat dari luar negara bagi menjalankan aktiviti memujuk dan menyogok orang kurang faham mengenai penggunaan dakwat itu.
Dalam perkembangan lain, Nik Abdul Aziz mengakui kerajaan negeri mempunyai hutang dengan Kerajaan Pusat lebih RM200 juta membabitkan projek prasarana air negeri ini.
Katanya, hutang itu ketika Tun Daim Zainuddin menjadi Menteri Kewangan yang menyalurkan RM600 juta bagi tujuan membaik pulih kemudahan air negeri ini.
"Mana ada negeri yang tidak ada hutang. Semua negeri ada hutang, tapi kami membayar balik hutang yang dipinjam daripada Kerajaan Pusat itu dengan bakinya kini lebih RM200 juta," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan