Khamis, 20 Mac 2008

KU LI SEDIA 'RAWAT' UMNO

UTUSAN MALAYSIA – (19-03-2008)

KOTA BHARU 19 Mac – Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini secara terbuka menyatakan kesediaan menerajui dan merawat UMNO bagi memastikan parti itu tidak hilang kekuasaan dan Melayu terus dibela.

Katanya, terserah kepada seluruh ahli UMNO untuk membuat pertimbangan dan beliau akan memikul tanggungjawab berat itu sekiranya diberi kepercayaan kelak.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang menegaskan perubahan drastik perlu dilakukan bagi memastikan UMNO selaku parti terbesar terus bernafas dan tidak ditolak rakyat.

Tengku Razaleigh menganggap keputusan yang diperoleh Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 sehinggakan lima negeri terlepas ke tangan pembangkang dan parti itu kehilangan majoriti dua pertiga, terlalu teruk dan dahsyat.

Tegas beliau, kerajaan wajib memandang serius suara rakyat dan perubahan drastik diperlukan jika masih ingin melihat mereka memilih BN dalam pilihan raya umum akan datang.

‘‘Demi kepentingan parti, bangsa, agama dan negara, pemimpin kena akui kelemahan dan tidak boleh lagi berdolak-dalik kerana ia akan mengeruhkan lagi keadaan hingga menyebabkan keadaan semakin sukar untuk diperbaiki,” katanya.

“Kalau tanggungjawab (merawat UMNO) diberi saya sedia terimanya, saya sedia beri khidmat jika difikirkan perlu oleh ahli parti,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar khas di kediamannya di sini hari ini.

Tengku Razaleigh ditanya sama ada beliau bersedia untuk tampil sekali lagi mencabar jawatan Presiden parti atau sekadar menghantar surat kepada Ketua Bahagian UMNO seluruh negara mencadangkan diadakan perhimpunan khas membincangkan kekalahan teruk parti.

Mengulas perlembagaan UMNO yang mensyaratkan pencabar presiden mesti mendapatkan sekurang-kurangnya 58 pencalonan daripada bahagian, beliau menyerahkan perkara itu kepada ahli.

Tegasnya, beliau bersedia bertanding jika mendapat pencalonan yang mencukupi.

Ditanya adakah syarat 58 pencalonan bahagian itu tidak demokratik, beliau berkata:

“Sebelum ini saya dah suarakan tetapi tiada siapa yang endahkan, rasional saya ialah sekiranya berlaku sebarang kejadian dalam UMNO, apa yang boleh dibuat dengan pelbagai sekatan ini.

“Kini ia telah betul-betul berlaku, sukar untuk membuat perubahan segera akibat halangan itu. Tetapi saya yakin jika ahli mahukan perubahan, ia boleh dilakukan kerana UMNO ditubuhkan bukan untuk orang yang pentingkan kuasa dan tak fikir orang lain.”

0 ulasan: