Rabu, 19 Mac 2008

AWASI TAKTIK PIHAK TOLAK PEMBANGUNAN


UTUSAN MALAYSIA – (19-03-2008)

MARAN 18 Mac – Golongan mahasiswa diingatkan supaya mengawasi taktik pihak tertentu yang cuba mempengaruhi pemikiran mereka dengan menolak segala projek pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit, Datuk Ahmad Munawar Abdul Jalil berkata, golongan mahasiswa perlu bijak menilai keikhlasan pihak tertentu yang menggunakan kedudukan mereka untuk menabur fahaman sempit sehingga merosakkan kemakmuran negara.

Beliau berkata, mahasiswa tidak harus diperalatkan pihak tertentu kerana matlamat mereka adalah untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik.

‘‘Mahasiswa yang bakal mewarisi kepimpinan negara harus membuktikan kredibiliti dan daya fikir kelas pertama tanpa begitu mudah dipengaruhi fahaman yang bertentangan dengan aspirasi kerajaan.

‘‘Peluang pendidikan yang disediakan kerajaan harus dihargai dan digunakan sebaik mungkin untuk meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya ketika berucap pada majlis program anak angkat pelajar Kolej Shahputra bersama masyarakat peneroka Felda Kampung New Zealand di sini hari ini.

Program empat hari anjuran bersama Kolej Shahputra dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung New Zealand membabitkan 80 pelajar dan 40 keluarga peneroka Felda kampung itu.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah Kolej Shahputra, Idham Abdul Karim.

Ahmad Munawar berkata, mahasiswa perlu memberi tumpuan terhadap usaha mendapat keputusan paling cemerlang dan bukan sekadar ‘cukup makan’ sahaja.

Tegasnya, pada era globalisasi ini, hanya individu cemerlang dalam akademik akan mampu bersaing untuk meraih jawatan penting dalam organisasi kerajaan dan swasta.

0 ulasan: