UTUSAN MALAYSIA : 30-03-2008
PADA 16 hingga 20 Disember ini, ribuan pemimpin dan ahli UMNO sekali lagi akan berkumpul di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Ini kerana di situlah akan berlangsung Perhimpunan Agung parti berkenaan. Sebelum itu pada 17 Julai hingga 24 Ogos mesyuarat peringkat cawangan akan diadakan diikuti peringkat bahagian pada 9 Oktober hingga 9 November.
Ketiga-tiga mesyuarat itu akan menyaksikan pemilihan semua jawatan dari pemeriksa kira-kira hinggalah kepada Presiden.
Bagaimanapun pemilihan kali ini dianggap akan dijalankan dalam suasana agak berbeza selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 menunjukkan UMNO kini bukan lagi sebuah parti yang digeruni.
Malah lebih daripada itu, pemimpin dan ahli UMNO akan bermesyuarat dalam keadaan mereka menjadi pembangkang di lima negeri.
Tumbangnya UMNO di Kedah, gagalnya UMNO di Kelantan, tewasnya UMNO di Perak, kecundangnya UMNO di Selangor dan tersungkur UMNO bersama Parti Gerakan di Pulau Pinang sudah memberi isyarat yang jelas bahawa sesuatu perlu dilakukan oleh ahli-ahli parti itu bagi mengembalikan maruah mereka.
Sama ada hendak diakui atau tidak populariti UMNO sebagai parti orang Melayu kini semakin tergugat.
Oleh itu usaha perlu dilakukan bagi memulihkan imejnya, ia akan bermula dengan melihat sejauh manakah ahli-ahli UMNO di semua peringkat mempunyai keberanian untuk melakukan perubahan terutamanya dari segi kepimpinan.
Pemilihan kali ini adalah medan terbaik bagi ahli-ahli UMNO memilih pemimpin-pemimpin yang benar-benar berwibawa bagi meningkatkan semula keupayaan parti itu meraih sokongan rakyat.
Mereka tidak harus takut untuk menyingkirkan pemimpin yang tidak lagi diterima oleh rakyat dan menggantikannya dengan pemimpin lain.
Jika ahli-ahli UMNO berfikir kini adalah masa terbaik untuk membuat perubahan, mereka perlu melakukannya.
‘‘UMNO perlu berubah jika mereka mahu kekal relevan,’’ kata pemerhati politik, Prof. Mustafa Mohamed Ishak.
Hakikatnya, semua pihak memahami perasaan ahli-ahli UMNO sekarang yang marah, geram dan kecewa dengan keputusan pilihan raya lalu.
Namun kalau menangis empat hari empat malam pun tetapi jika tidak berani untuk melakukan perubahan bagi mencari yang terbaik tiada gunanya juga.
Mengulas perkara ini, Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Mohd Alwi Che Mat memberikan ‘panduan’ kepada ahli-ahli UMNO, pemimpin seperti manakah yang mereka mahukan.
Pemimpin
‘‘Jangan pilih pemimpin sombong, pilihlah pemimpin yang ikhlas dan jujur dalam agama dan perjuangan,’’ katanya ketika dihubungi.
Sebagai seorang pemimpin yang berada di sebuah negeri yang ditawan oleh pembangkang sejak 1990, Mohd Alwi sudah tentulah memahami apa kesannya jika UMNO memilih pemimpin sombong dan tidak mahu berdamping dengan rakyat.
Keputusan pilihan raya umum telah menunjukkan bagaimana sesetengah pemimpin ditolak oleh rakyat kerana peribadinya.
Namun begitu ada juga pemimpin yang tewas dalam pilihan raya tetapi masih boleh diberi ruang untuk terus memegang jawatan dalam parti, siapa? Biarlah ahli UMNO menentukan.
Ini kerana adalah tidak adil jika pemimpin itu ditolak sedangkan kekalahannya bukan disebabkan oleh faktor peribadi tetapi akibat ‘arus tsunami pusat’ yang ‘menghempas’.
‘‘Ahli UMNO kena membuat pertimbangan yang waras kerana orang yang kalah itu mungkin bukan kerana dia dibenci, mungkin ada faktor lain dan kadangkala rakyat salah melakukan pertimbangan.
‘‘Lihatlah kemenangan beberapa calon pembangkang yang kita sendiri boleh nilai keupayaan sebenar mereka,’’ kata Mohd Alwi.
Bagaimanapun bagi Naib Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Kelantan, Rahim Mohd. Zain, ahli-ahli UMNO tidak perlu panik berikutan pencapaian parti dalam pilihan raya umum lalu.
‘‘Kita hanya kurang lapan kerusi untuk memperoleh majoriti dua pertiga, UMNO dan BN masih kuat.
‘‘Namun begitu ada beberapa perubahan yang perlu kita lakukan, ini termasuklah memastikan pemimpin yang bakal dipilih di semua peringkat nanti benar-benar menjadi hamba kepada rakyat dan bukannya bersikap ego dan sombong,’’ katanya.
Itulah pandangan Mohd Alwi dan Rahim mengenai kriteria pemimpin yang perlu diletakkan dalam saf kepimpinan UMNO bagi mengubat kembali luka berikutan tsunami politik yang melanda.
Tetapi persoalan yang lebih jelas ialah beranikah ahli UMNO? apakah perubahan yang diimpikan akan menjadi kenyataan? Tidakkah pemilihan UMNO acap kali dikaitkan dengan politik wang? Bolehkah perbuatan yang dilaknat oleh Allah ini dihapuskan dalam pemilihan kali ini?
Istilah ‘salji’ turun beberapa jam sebelum pemilihan pada tahun 2004 bukan sahaja menjadi begitu popular tetapi juga menjadi ‘fobia’ kepada ahli-ahli di peringkat akar umbi.
Mereka bimbang jika pemilihan kali ini juga akan dihiasi dengan ‘turunnya salji-salji’ yang bakal membekukan amanat awal yang mereka berikan kepada perwakilan siapa seharusnya dipilih menjadi pemimpin di peringkat pusat.
‘‘Kebimbangan mengenai politik wang ini semakin diperkatakan oleh ahli-ahli UMNO, saya tidak pasti sama ada pencapaian dalam pilihan raya lalu mampu menjadi ‘tangkal’ bagi menghalang perbuatan berkenaan dalam pemilihan kali ini,’’ kata seorang ketua UMNO bahagian di Kedah, ketika dihubungi.
Ia disebabkan sesetengah pemimpin sanggup melakukan apa sahaja bagi mendapat kuasa dan kedudukan biarpun mereka sendiri melaungkan hapuskan politik wang.
Sikap
Sikap tidak jujur ini hanya boleh dihapuskan oleh ahli-ahli UMNO sendiri yang perlu memahami bahawa pemilihan kali ini adalah penentu masa depan parti.
Mereka harus bijak membuat penilaian dan paling penting memahami bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda salah satu golongan yang dilaknat oleh Allah ialah seorang pemimpin yang mahu terus memimpin biarpun ditolak oleh kaumnya.
Pemimpin seumpama inilah yang akan ‘membenarkan salji-salji berguguran’ ketika pemilihan dan sekali gus diharap akan menyejukkan ‘bara’ yang kini menyala di dada ahli-ahli UMNO berikutan pilihan raya lalu.
Apa pun segala-galanya terserah kepada ahli-ahli UMNO dan mereka perlu memahami bahawa pemilihan tahun ini amat penting bagi survival politik parti itu.
Jika mereka terus mengamalkan sikap memilih ‘pemimpin Santa Claus’ dan bukannya pemimpin yang benar-benar disukai rakyat, percayalah kedukaan ‘tsunami politik 2008’ akan berulang lagi kira-kira empat atau lima tahun akan datang dan mungkin ia lebih buruk.
Ketika itu, ahli-ahli UMNO mungkin tidak lagi menyambut pemimpin-pemimpin mereka di Parlimen atau PWTC tetapi di Muzium Negara di mana UMNO akan ‘ditempatkan’.
Justeru jadikanlah gelanggang pemilihan kali ini sebagai medan untuk memastikan UMNO terus kekal relevan bukan sahaja untuk ahlinya tetapi paling penting rakyat Malaysia. Beranilah melakukan perubahan demi agama, bangsa dan negara.
0 ulasan:
Catat Ulasan