HARAKAH – (13-03-2008 )
KOTA BHARU, 11 Mac (Hrkh) – Selepas hampir sebulan kerajaan PAS di Kelantan diperlekeh, dipersenda pemimpin Umno dan akhbar harian nampaknya rakyat negeri ini seakan-akan tak terpengaruh dengan dakwaan mereka.
Maka pada 8 Mac lalu lebih 700,000 rakyat Kelantan membuat keputusan sehingga menyaksikan pemimpin-pemimpin kanan Umno dimalukan.
Lebih mengaibkan lagi bagi Dato’ Dr Awang Adek Hussin selepas penat menjaja kononnya beliau adalah calon Menteri Besar, akhirnya tinggal angan-angan.
Begitu juga bagi Presiden Umno, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, timbalannya, Dato’ Seri Najib Razak dan pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato’ Seri Annuar Musa.
Kenyataan mereka BN mampu rampas Kelantan hanya terperap pada helaian kertas akhbar lama sahaja. Sudah empat kali impian itu berkecai.
Rakyat seakan memberi peringatan pemimpin ego seperti mereka tidak ada tempat dalam politik negara sekarang.
Seorang pemimpin masyarakat di sini, Mohamad Kamal Khatib, 51 berkata, pilihan raya umum kali ini menyaksikan perbezaan yang hebat berbanding pilihan raya sebelumnya.
“Berdasarkan permintaan rakyat terhadap poster kempen pilihan raya pada 2004 dicetak dengan kos RM4 juta, sedangkan pada 2008 kosnya meningkat kepada RM6.6 juta.
“Itu pun masih belum mencukupi. Rakyat mengeluarkan belanjanya sendiri. Ini menunjukkan kehebatan rakyat Kelantan. Sedangkan poster dan bendera dacing yang diberi percuma pun orang tidak berminat,” katanya.
Menurutnya juga jentera pilihan raya PAS lebih tersusun rapi dan bersemangat. Mereka bangkit secara menyeluruh. Bagaimanapun Umno terus angkuh dengan mempamerkan gaya hidup mewah.
Wan Abu Bakar, 34 anak perantau yang kini bekerja di Kuala Lumpur berkata, di Kelantan sambutan rakyat terhadap pilihan raya umum ke-12 begitu hebat sekali.
Sedangkan katanya di luar Kelantan keadaan agak terbatas kerana pegawai dan kakitangan kerajaan takut untuk meluahkan perasaan mereka.
“Isu pilihan raya kali ini juga dipengaruhi penjelasan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kelemahan pentadbiran negara yang ada sekarang.
“Di samping itu kehadiran Dato’ Seri Anwar Ibrahim banyak membantu terutamanya bagi rakyat bukan Islam. Tidak kurang juga dengan manifesto yang menarik ditawarkan PAS dan BA antaranya menurunkan harga minyak petrol dan pendidikan percuma,” tambahnya.
Menurut beliau juga pada pilihan raya umum ke-11, tidak ramai anak-anak Kelantan yang pulang mengundi.
Pengarah Nisa’ Kelantan, Salawati Mohd Ariffin, 31 berkata, dalam menghadapi pilihan raya umum ke-12 rakyat lebih terdedah kepada banyak isu besar kerana banyak medium digunakan termasuk internet dan media cetak.
“Pendedahan itu melahirkan lebih ramai rakyat bermaklumat dan memahami banyak isu semasa yang berlaku dalam negara. Rakyat juga dapat melihat manifesto yang dikemukakan BA berbanding manifesto BN,” katanya yang juga petugas jentera pilihan raya Parlimen Rantau Panjang.
Beliau berkata, pada masa akan datang peluang BA kelihatan lebih cerah untuk mentadbir negara ini berdasar kepada pencapaian sekarang.
Menurutnya sepanjang membantu calon PAS di Rantau Panjang penduduk tempatan memberi sambutan menggalakkan terhadap calon PAS, Siti Zailah Mohd Yusof memandangkan beliau merupakan anak tempatan dan mudah didekati.
0 ulasan:
Catat Ulasan