Sabtu, 22 Mac 2008

LIHAT PERTANDINGAN PARTI POSITIF - TG RAZALEIGH


UTUSAN MALAYSIA : 21-03-2008

GUA MUSANG 20 Mac – Orang Melayu terutamanya ahli UMNO perlu melihat pertandingan sebagai sesuatu yang positif dan mengikis sentimen takutkan perpecahan setiap kali wujud perebutan jawatan dalam parti.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, sudah sampai masanya mereka memberanikan diri untuk membuat perubahan ke arah kebaikan terutama dalam keadaan yang mendesak sekarang.

Veteran UMNO itu secara sinis melontarkan persoalan adakah Melayu kini menjadi begitu penakut untuk menghadapi cabaran dan membuat perubahan demi kebaikan bangsa dan partinya sendiri?

“Kalau kita takut macam tu, tak payahlah ada pemilihan, kita pilihlah jawatan presiden seumur hidup, jawatankuasa bahagian dan cawangan pun sama juga, kalau takut berpecah.

“Lepas itu kita semua (ahli UMNO) pakat-pakat doa supaya dia (pemilik jawatan seumur hidup) jangan sakit dan mati supaya dia dapat berkuasa seumur hidup. Orang Melayu ni penakutkah sekarang? Hadapilah cabaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian Gua Musang di sini hari ini.

Tengku Razaleigh diminta mengulas lanjut mengenai kesediaan beliau untuk mencabar Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada pemilihan parti akan datang, sekiranya diberi kepercayaan oleh ahli-ahli.

Semalam, beliau secara terbuka menawarkan diri untuk mencabar Abdullah dan menerajui parti sebagai usaha untuk ‘merawat’ UMNO setelah mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarah pilihan raya umum negara.

Tengku Razaleigh sebelum ini, dilaporkan menghantar 26,000 pucuk surat kepada semua ketua dan jawatankuasa bahagian UMNO serta ketua-ketua cawangan di seluruh negara mengesyorkan mereka agar meminta atau mendesak diadakan Perhimpunan Agung Khas bagi membincangkan keadaan itu.

Ia berasaskan peraturan sedia ada dalam perlembagaan UMNO iaitu fasal 14.6.1 dan fasal 8.5.3.

Tengku Razaleigh yang pernah mencabar Tun Dr. Mahathir Mohamad tetapi tewas dengan 43 undi dalam pemilihan 1987 berkata, proses perubahan ke arah kebaikan merupakan perkara lumrah yang tidak boleh dinafikan.

“Proses perubahan mesti berlaku, samalah kalau Mahathir tidak berhenti maka tiadalah penggantinya (Abdullah). Perubahan mesti berlaku kerana semua tidak kekal selamanya yang hidup akan mati. Itu adalah kitaran semulajadi, begitu juga dalam politik,’’ ujarnya.

0 ulasan: