BERITA HARIAN – (19-03-2008)
RAKYAT sudah mengetahui barisan Kabinet baru Perdana Menteri dan rata-rata menyifatkannya sebagai seimbang dan mesra rakyat. Walaupun ada segelintir pihak tidak berpuas hati berhubung agihan jawatan mengikut negeri dan parti, banyak pihak memuji barisan Kabinet baru yang dianggap sebagai 'kejutan yang menggembirakan seluruh rakyat' dan sudah pasti mampu mewakili segenap lapisan masyarakat dengan efektif serta membawa pembaharuan kepada pentadbiran negara. Selepas mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta menyimpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam, kini tiba masanya bagi menteri dan timbalan menteri yang dilantik memberi tumpuan kepada bidang tugas di kementerian masing-masing. Kepercayaan yang diberi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi harus dibalas dengan kerja penuh dedikasi dan berdisiplin.
Kita berharap menteri yang digugurkan dapat turut membantu menteri baru jika khidmat nasihat mereka diperlukan, manakala orang baru dalam Jemaah Menteri pula tidak harus mendabik dada tanpa mempedulikan nasihat orang lama. Rungutan sebilangan ahli Umno terutama di kalangan Pergerakan Wanita yang kecewa kerana tidak ada wakil dilantik sebagai menteri, tidak harus dibiar berpanjangan. Malah, keputusan melantik Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang tewas pada pilihan raya umum lalu sebagai Penasihat Khas bertaraf Menteri kepada Perdana Menteri berhubung Hal Ehwal Pembangunan Wanita dan Sosial, diharap boleh melegakan banyak pihak. Contohilah bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, walaupun namanya digugurkan daripada senarai Kabinet, beliau masih sedia meneruskan khidmat sebagai Ketua Wanita Umno, sekali gus menafikan desas-desus akan melepaskan jawatan itu. Ini menunjukkan Rafidah sedia berkhidmat untuk bersama-sama mengukuhkan Umno, sekali gus mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).
Kita juga harus menghormati keputusan Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad yang meletakkan jawatan Setiausaha Agung Umno dan BN dengan alasan tidak dapat bekerja secara efektif disebabkan tidak lagi berada dalam Kabinet kerana itu adalah hak beliau dan ia bukan petanda berlaku perpecahan dalam Umno. Begitu juga tindakan Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman, menolak pelantikan jawatan timbalan menteri dengan alasan peribadi, tidak harus dijadikan alasan untuk menggugat kekukuhan dan keutuhan parti. Ini adalah kes terpencil dan kita percaya Perdana Menteri yang juga Presiden Umno boleh menggantikan mereka dengan calon lain yang sesuai supaya jentera Umno dapat terus kuat dan lancar bagi memastikan kesinambungan kepemimpinan kerajaan BN sekarang.
Apa pun, mereka yang menyertai Kabinet kali ini harus membuka buku baru dan menanam tekad untuk membalas kepercayaan Perdana Menteri dengan memberikan perkhidmatan cemerlang sesuai dengan kehendak dan aspirasi rakyat. Sebagai tanda syukur kerana dilantik ke jawatan itu, mereka harus mengetepikan angan-angan bahawa jawatan itu sebagai tiket untuk menikmati keistimewaan dan kemewahan. Kepentingan rakyat harus diutamakan dan mereka perlu berikrar bekerja bersungguh-sungguh dan terus mendekati dan menyelami masalah dan kehendak rakyat. Harus diingat, rakyat menaruh harapan tinggi dalam situasi kehidupan mereka yang semakin mencabar berikutan kenaikan harga barang keperluan harian. Rakyat wajar diberi perhatian supaya konsep Negaraku Syurgaku tercapai di negara ini. Selain pucuk pimpinan yang sentiasa memerhatikan rekod kerja mereka sepanjang empat atau lima tahun akan datang, rakyat pula akan menghakimi keikhlasan dan kesungguhan mereka bekerja apabila tiba pilihan raya nanti.
0 ulasan:
Catat Ulasan