Khamis, 6 Mac 2008

AWANG ADEK TETAP KUATKAN AZAM


BERITA HARIAN – (
06-03-2008)

BACHOK: Kematian ibu menjelang pilihan raya umum Sabtu ini, menguatkan lagi azam Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Awang Adek Hussin, untuk memenangi pilihan raya kali ini.

Reda dengan kematian ibunya, Mek Wook Noor, 82, Awang Adek semalam menangguhkan pergerakan kempennya ke seluruh Kelantan dan hanya kembali berkempen secara intensif, hari ini.

Beliau berkata, kematian ibu yang menjadi sumber inspirasi itu mendorongnya berusaha lebih kuat, demi kejayaan pada pilihan raya ini bagi memenuhi impian ibunya membela rakyat Kelantan.

Katanya, kematian ibunya ketika tiga hari lagi menjelang pilihan raya umum Sabtu ini adalah kehilangan besar dalam hidupnya, selepas bapanya, Hussin Mamat, meninggal dunia tiga bulan sebelum Pilihan Raya Umum 2004.

"Allahyarham ibu saya mempunyai semangat kuat. Walaupun keluarga kami miskin, dia kerja kuat membantu ayah saya dengan menjual keropok dan ikan kering tanpa henti walaupun ketika sarat mengandung.

"Malah, ibu saya hanya berhenti bekerja apabila hampir tiba waktu bersalin. Semangat itulah yang mengagumkan saya sebab nak membesarkan kami lapan anaknya dalam kemiskinan... bukan mudah," katanya.

Awang Adek berkata, menyedari kemiskinan keluarganya itu, beliau berusaha memajukan dirinya dalam pelajaran, meskipun dalam keadaan serba kekurangan, demi membela nasib keluarganya.

Beliau yang juga bakal menteri besar jika BN menang di Kelantan, bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perupok dan Parlimen Bachok.

Ditanya sama ada ibunya tahu beliau calon Menteri Besar jika BN menang pilihan raya umum, Sabtu ini, Dr Awang Adek berkata, beliau tidak pernah memberitahu ibunya perkara itu.

"Sejak sebulan lalu, setiap hari saya meluangkan masa menziarahi ibu saya walaupun sibuk dengan kempen pilihan raya tetapi saya tak cakap mengenai perkara itu.

"Tetapi ahli keluarga yang menemani di hospital ada memberitahunya, dia kata Insya-Allah, Awang (nama panggilan ibunya) boleh menang.

Mek Wook menghembuskan nafas terakhirnya di hadapan lapan anaknya termasuk Awang Adek dan isterinya, Datin Latifah Mohd Yusof, kira-kira jam 10.35 malam kelmarin di Pusat Rawatan Darulnaim, Kota Bharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah antara yang terawal menziarahi jenazah Allahyarham dan meluangkan masa kira-kira 10 minit bersama keluarga berkenaan.

Jenazah Mek Wook dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai, Perupok, di sini, kira-kira jam 10 pagi dan dihadiri sanak saudara, sahabat handai dan penduduk Bachok.

Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di kediaman Awang Adek di Kampung Perupok, kira-kira jam 9 pagi. Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed.

0 ulasan: