Jumaat, 7 Mac 2008

TIDAK KESAL PECAT ANWAR


UTUSAN MALAYSIA – ( 07-03-2008)

ALOR STAR 6 Mac – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak pernah berasa bersalah atau kesal dengan tindakannya memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, bagi beliau tindakan yang diambilnya ketika itu adalah keputusan yang tepat dan untuk masa depan negara.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir menyelar tindakan pihak pembangkang yang menyalahgunakan rakaman ucapannya dua tahun lalu yang dijadikan bahan untuk kempen politik mereka.

“Saya bercakap panjang tetapi pembangkang potong dan ubah jadi lain. Itulah kerja mereka sejak dari dahulu lagi dan tidak habis-habis dengan penipuan,” katanya kepada para pemberita setelah menghadiri satu majlis anjuran Barisan Nasional (BN) di Kampung Golok Puting di sini malam tadi.

Dr. Mahathir dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali turut terlibat dalam kempen pilihan raya anak mereka, Datuk Mukhriz Mahathir yang menjadi calon BN bagi kerusi Parlimen Jerlun.

Menurut Dr. Mahathir, Anwar telah diberi peluang untuk membuktikan dirinya tidak bersalah di mahkamah namun mahkamah mendapati dia bersalah.

“Bukan saya yang menjatuhkan hukuman tetapi hakim yang menjatuhkan hukuman. Saya tidak pernah rasa bersalah terhadap tindakan yang saya ambil,” katanya.

Jelas Dr. Mahathir, beliau tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap pembangkang yang menyalahgunakan ucapan beliau kerana sudah masak dengan permainan politik pihak tersebut.

“Anwar mahu saman saya RM100 juta, biarlah dia saman. Saya mana ada duit sebanyak itu,” ujar beliau secara berseloroh.

Sementara itu, Dr. Siti Hasmah berkata, beliau dan suami mendoakan kejayaan Mukhriz serta dua lagi calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Jerlun iaitu Datuk Abu Hassan Sharif (Kota Siputeh) dan Datuk Othman Aziz (Ayer Hitam).

0 ulasan: