BERITA HARIAN – (06-03-2008 )
Bekas Perdana Menteri sifatkan Penasihat PKR gila kuasa
ALOR STAR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata dakwaan kononnya beliau menganiayai Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menangkap dan memenjarakan bekas timbalannya itu adalah satu “sinis" atau sindiran.
Katanya, rakaman klip video ucapannya yang menyentuh mengenai penyalahgunaan kuasa dan kes Anwar adalah dipetik dalam satu ceramahnya dua tahun lalu.
“Ya memang saya berkata begitu dalam sinis atau “camdek” kata orang Kedah kerana saya hairan masih ada orang yang percaya saya menangkap Anwar dan penjarakan dia sedangkan yang mendapati dia salah tu bukan saya, mahkamah, hakim.
“Tujuh hakim kata dia salah jadi macam mana dia masih juga berkata kononnya saya berasa bersalah kerana melakukan tangkapan terhadap dirinya... saya tidak mengaku bersalah (memecat Anwar).
“Soal salah tak salah tak timbul sama sekali. Dia ditangkap adalah atas dakwaan pihak polis, pendakwa raya dan mahkamah yang menghukumnya bahawa dia memang bersalah,” kata beliau kepada Bernama di kediamannya di Kampung Titi Gajah di sini, semalam.
Katanya, beliau sendiri berasa pelik apabila sesetengah individu masih mendakwa beliaulah yang menghukum Anwar sedangkan perkara itu terbukti tidak benar.
Dr Mahathir berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu) adalah seorang yang tidak mempunyai pendirian malah sanggup menggunakan apa cara untuk mendapatkan peluang demi kepentingan dirinya.
Beliau berkata, Anwar adalah seorang yang sangat oportunis dan disebabkan itu walaupun Anwar (sebelum menyertai Umno) sering mengkritik Umno tetapi Anwar kemudian memohon untuk menyertai parti itu kerana mahu menjadi Perdana Menteri.
Katanya, Anwar datang berjumpa dengan beliau dan memohon untuk menyertai Umno dengan alasan beliau percaya dan yakin dengan prinsip perjuangan Umno dan mahu “mengubah dari dalam”.
“Dia nak masuk Pas. Tetapi dia nampak jika masuk Pas, tiada peluang langsung untuk menjadi Perdana Menteri... dia mintak nak masuk Umno... bukan kita panggil... saya tak bawa dia masuk (Umno).
“(Kononnya) Dia nak ubah Umno dari dalam... yang sebenarnya masuk-masuk saja (Umno) tak dan (belum sampai) dua hari, dah nak jadi Ketua Pemuda, setahun lagi naib presiden, setahun kemudian nak jadi Timbalan Presiden... saya lapan belas tahun baru boleh jadi wakil rakyat dan 28 tahun baru boleh jadi menteri... Saya sanggup tunggu, dia masuk-masuk tu nak pergi jadi Perdana Menteri sampai sanggup suruh budak-budak dia maki saya dan kata saya amalkan kronisme dan nepotisme, sedangkan Anwar yang bersikap begitu”, katanya.
Dr Mahathir berkata, Anwar memang seorang yang bermuka-muka dan sekarang menyebabkan rakan baiknya Dr Chandra Muzaffar mengkritiknya.
Dulu, bekas Perdana Menteri itu berkata, Chandra menyokongnya sepenuhnya dan marah kepada beliau kononnya beliau (Dr Mahathir) menganiaya Anwar. Tetapi kini lihat apa Chandra kata mengenai Anwar.
“Anwar jika bercakap dengan orang Palestin, dia sokong Palestin, bila cakap dengan orang Cina dia sokong Cina. Bila cakap dengan Hindraf dia pun kata Hindraf betul. Bila cakap dengan orang Melayu... dia orang Melayu...,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan