BERITA HARIAN – (06-03-2008 )
Rakyat perlu berjuang untuk pastikan kekal di bawah BN: Najib
MARANG: Datuk Seri Najib Razak berkata, Terengganu akan menjadi model kepada pentadbiran Kelantan sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya mengambil alih negeri itu daripada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Sabtu ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, sepanjang empat tahun BN memerintah Terengganu pelbagai kemajuan dan kemakmuran dikecapi penduduk yang tidak pernah diimpikan sebelum ini.
"Kita dah nampak di bawah BN dan dalam masa empat tahun saja, Islam maju di bumi Terengganu, rakyat Terengganu semakin makmur perubahan yang hebat sedang berlaku.
"Empat tahun BN memerintah Terengganu jauh lebih baik macam bumi dengan langit berbanding ketika pemerintahan Pas.
"Saya gunakan contoh ketika berkempen di Kelantan dan saya kata Terengganu maju di bawah BN dan kita akan gunakan Terengganu sebagai model jika BN memerintah di bumi Kelantan," katanya pada Perasmian Medan Info Desa Marang, di Kampung Alur Limbat, di sini semalam.
Hadir sama, isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh. Turut hadir calon BN Parlimen Marang, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir; calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat, Alias Abdullah; Razali Idris (Rhu Rendang), Yahaya Khatib Mohamed (Pengakalan Berangan) dan Zaidi Muda (Bukit Payong).
Najib berkata, bagi memastikan kesinambungan kemajuan yang akan dinikmati, rakyat perlu berjuang habis-habisan dalam memastikan Pas tidak mendapat tempat untuk bertapak semula di negeri ini.
Katanya, rakyat Terengganu perlu ingat betapa sukarnya rakyat ketika Pas memerintah sepanjang empat tahun tanpa sebarang kemajuan dilaksanakan di Terengganu.
Untuk itu katanya, penting bagi rakyat Terengganu untuk berjuang habis-habisan memastikan sejarah hitam tidak berulang lagi dan memastikan Terengganu kekal di bawah pemerintahan BN.
"Kita perlu berjuang habis-habisan untuk pastikan bahawa sejarah tidak akan berulang kembali kerana kita nak pastikan bumi Terengganu kekal milik BN.
"Kita dapat melihat bahawa pilihan raya kali ini adalah pilihan raya untuk Umno.. bukan untuk memberi laluan kepada Pas kerana masih kita ingat Pas menghina dan tak buat apa-apa kemajuan untuk Terengganu," katanya.
Beliau berkata, pilihan raya yang akan berlangsung pada Sabtu ini adalah titik tolak BN membentuk kerajaan dan pilihan raya ini adalah satu perjalanan ke arah membina sebuah tamadun Islam yang hebat di Terengganu.
Najib turut menyatakan keyakinan BN mengekalkan kerusi Parlimen Marang yang sememangnya menjadi kerusi panas antara BN dan Pas kerana terletak di kawasan kubu kuat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Katanya, Ketua Umno Bahagian Marang, Abdul Rahman Bakar cukup sinonim dengan gelaran `giant killer' berjaya membuktikan bahawa Marang juga mampu ditembusi dan ditawan BN hingga menyebabkan Abdul Hadi tewas sebanyak dua kali.
0 ulasan:
Catat Ulasan