BERITA HARIAN – (06-03-2008 )
PENDEDAHAN bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Chandra Muzaffar, mengenai siapa sebenar Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru berikutan semua isu yang diperkatakan Dr Chandra memang sudah menjadi buah mulut orang sejak 1999 lagi.
Bagaimanapun, kritikan lantang Dr Chandra ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 memasuki pusingan terakhir memberi kesan serius kepada bekas rakan karibnya itu, apa lagi selepas dia menabur pelbagai janji terutama untuk 'menurunkan harga minyak petrol dan diesel' jika pakatan pembangkang menang dan berkuasa.
Seperti dijangka, Dr Chandra dilayangkan surat saman bernilai lebih RM20 juta, serta tuntutan menarik semula kenyataan yang dibuat di sebuah forum mengenai proses pilihan raya umum di Menara Star, Isnin lalu.
Dr Chandra dalam kenyataannya kepada media menegaskan: "Saya membalas kepada ugutannya untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas saya. Saya menulis
"Semua kenyataan yang saya lakukan adalah berdasarkan fakta dan maklumat yang memang di dalam pengetahuan peribadi saya. Saya berdiri teguh dengan kenyataan saya dan akan mempertahankannya di mana-mana mahkamah."
Pendedahan Dr Chandra sebenarnya bukanlah sesuatu yang menggemparkan kerana di arena politik semakin ramai yang berhati-hati dengan cara Anwar berkempen, kerana caranya masih tidak berubah daripada dia mula menjadi aktivis sejak di universiti lagi.
Sikap oportunis semakin jelas sejak kebelakangan ini, terutama dalam beberapa demonstrasi yang berlaku pada akhir tahun lalu, wajahnya secara tiba-tiba akan berada di hadapan.
Ketika demonstrasi rakyat yang menuntut pilihan raya lebih bersih pada November lalu, Anwar pada saat akhir mencuri semua perhatian, apabila menjadi pembangkang pertama berada di hadapan pintu masuk Istana Negara, sedangkan pemimpin pembangkang lain bersusah payah berarak bersama pengikut masing-masing.
Ketika tunjuk perasaan oleh kumpulan Hindraf pula, Anwar juga tiba-tiba berada di barisan hadapan dan ternyata kehadirannya tidak dihiraukan beberapa pemimpin Hindraf yang sudah mengetahui taktiknya.
"Anwar adalah seorang yang sentiasa merancang, dia merancang banyak perkara. Anda lihat bagaimana ada saja kejadian yang berlaku sejak kebelakangan ini. Setiap demonstrasi ada mukanya, 'tape' kes VK Linggam pula keluar satu persatu.
"Dia adalah pakar untuk memastikan sesuatu isu itu sentiasa hidup dan dia akan ke depan. Malah, pernah seorang rakan rapatnya memberi amaran kepadanya supaya jangan terlalu bermain dengan api... tapi dia hanya ketawa," kata seorang yang pernah menjadi pengikut setia Anwar.
Pada pilihan raya umum kali ini, ketokohan Anwar berucap masih menjadi faktor penarik kepada orang ramai untuk keluar mendengar pidatonya. Janji yang ditaburkan dalam manifesto PKR bertajuk 'Harapan Baru Untuk Malaysia', membayangkan seolah-olah parti yang hanya bertanding 98 kerusi Parlimen mampu untuk menubuhkan kerajaan, tanpa mengambil kira perasaan parti pembangkang lain.
"Anwar sudah melalui beberapa zaman iaitu daripada seorang aktivis Islam ketika zaman mudanya, kepada seorang nasionalis dan hari ini seorang yang mencari populariti. Kelebihannya ialah dia pandai berpidato dan ramai orang terpegun melihatnya.
"Ini kekurangan paling ketara yang dimiliki golongan pemimpin muda terutama dalam Barisan Nasional. Ramai yang terjun ke dalam gelanggang politik tanpa dibekalkan dengan ketokohan sebagai seorang pemidato," kata Karim Raslan yang turut menjadi panel pada forum terbabit.
Seorang lagi bekas pengikut Anwar yang enggan namanya disiarkan, bersetuju dengan pendapat Dr Chandra bahawa ada agensi luar negara yang menyokong dan membantu Anwar, kerana mengetahui latar belakang bekas pemimpin yang pernah cuba menumbangkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Apa yang jelas, Anwar sedia melakukan apa yang diarahkan mereka. Hampir semua orang tahu latar belakang kehidupan peribadinya dan amat mudah untuk 'blackmail' dia," kata sumber ini.
Jelasnya, seorang bekas pemimpin negara sahabat juga pernah menasihatkan Dr Mahathir supaya berhati-hati dengan Anwar.
"Jadi, seperti kita boleh bayangkan sekiranya Anwar menjadi Perdana Menteri, jenis pemimpin macam mana yang akan dilahirkan. Bukan saya saja gerun, tetapi ramai kawan lain juga bimbang sekiranya perkara ini menjadi realiti," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan