UTUSAN MALAYSIA – (18-03-2008)
KOTA BHARU 17 Mac – UMNO Kelantan berpendapat masalah kelemahan parti yang menyebabkan kekalahan teruk dalam pilihan raya umum lalu tidak memerlukan perhimpunan agung khas bagi membincangkannya.
Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Annuar Musa berkata, saluran bagi muhasabah ke arah memperkasakan semula parti sudah tersedia melalui mesyuarat agung cawangan dan bahagian yang bakal berlangsung untuk dibawa ke peringkat pusat.
‘‘Sudah tentu salah satu agendanya adalah seperti mana yang diharapkan oleh Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan kita menggalakkan keadaan parti dibincangkan untuk dibawa ke peringkat persidangan Agung UMNO.
‘‘Kalau mesyuarat agung khas diadakan dalam keadaan gawat, kita khuatir masalah dibincangkan secara terlalu terdedah sedangkan kita harus bincangkan isu secara cermat iaitu ada yang boleh dibincang secara terbuka dan ada yang lebih sesuai secara strategik,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar di sini hari ini bagi menyatakan pendirian UMNO Kelantan melalui mesyuarat biro politiknya yang diadakan malam tadi.
Annuar berkata, dalam keadaan sekarang, perpaduan parti di bawah kepimpinan sedia ada perlu dipertahankan dan apa-apa langkah yang akan diambil perlu dilakukan secara berhemah dan bijaksana agar tidak memburukkan lagi masa depan parti.
‘‘Apa-apa langkah boleh dilakukan dalam saf yang teratur, bukan dalam saf yang gawat dan tak menentu, dalam suasana kepimpinan yang stabil itu kita lakukan rombakan, hatta biarpun drastik sekalipun tetapi seumpama menarik rambut dalam tepung,” ujarnya.
Tengku Razaleigh dalam suratnya kepada semua Ketua UMNO Bahagian di seluruh negara mengesyorkan semua bahagian meminta atau mendesak diadakan perhimpunan agung khas untuk membincangkan kesan keputusan pilihan raya umum kepada masa depan UMNO serta orang Melayu.
Bagi Tengku Razaleigh, langkah yang dicadangkan sebelum Persidangan Agung UMNO itu merupakan proses muhasabah secara serius, tenang dan sabar dengan tidak membiarkan apa-apa kesilapan dan kelemahan disorok.
Menurut Annuar, UMNO Kelantan memahami dan menghormati pandangan Tengku Razaleigh dan sesiapa sahaja yang bertindak dalam konteks yang dibenarkan dalam perlembagaan.
‘‘Pada saya, semua suara perlu diperhati dan didengar manakala pucuk pimpinan perlu buat penilaian. Tak perlu sewenang- wenangnya kita menekan ‘butang panik’ dan pemimpin tidak perlu melenting apabila dalam keadaan sebegini.
‘‘Anak buah memberi pandangan yang mungkin dianggap ekstrem, namun anggap ia suatu proses yang biasa, setiap suara dan pandangan diperhatikan, kalau pandangan yang menyeluruh lain kesannya.
‘‘Jika terbatas kepada individu dan kelompok itu lain pula tetapi setiap pandangan ada nilai dan ada harganya,” ujarnya.
Katanya, dalam keadaan sekarang, ia bukanlah kepentingan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden parti tetapi UMNO namun semua perlu menerima hakikat pucuk pimpinan tidak boleh lari dengan peranannya sangat besar berasaskan keupayaan dan sokongan ahli.
Beliau mengambil contoh Indonesia ketika Presiden Suharto menerima tekanan dan terpaksa turun namun penggantinya yang dikatakan lebih hebat juga terpaksa melepaskan jawatan.
Katanya, model terbaik ialah bagaimana bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir berdepan dengan krisis pada tahun 1999 ketika sokongan terhadapnya merosot, beliau terus bertahan membina semula kekuatan parti sebelum melepaskan jawatan kepada pengganti dalam keadaan yang stabil.
0 ulasan:
Catat Ulasan