Sabtu, 15 Mac 2008

MUKHRIZ TULIS SURAT MINTA PAK LAH BERUNDUR


UTUSAN MALAYSIA – (14-03-2008)

KUALA LUMPUR 14 Mac - Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir semalam menulis surat kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Surat itu menuntut Abdullah memikul tanggungjawab atas kekalahan luar jangka banyak calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12 Sabtu lalu.

Mukhriz yang merupakan anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam suratnya itu memberitahu, agenda kepimpinan dan kaedah mengurus masalah Perdana Menteri tidak lagi diterima rakyat.

Beliau juga menekankan bahawa "tidak ada gunanya menafikan apa yang jelas semata-mata untuk mengekalkan kedudukan sebagai Perdana Menteri."

Mukhriz turut menyatakan tindakannya menulis surat itu adalah atas sifat nasionalisme dan patriotisme demi kepentingan orang Melayu dan beliau bersedia menerima apa jua tindak balas.

Dalam pada itu, Mukhriz gagal dihubungi bagi mengulas sebab beliau menulis surat berkenaan yang turut dikirimkan kepada para pemimpin kanan UMNO.

Bagaimanapun, Mukhriz memberitahu sebuah agensi berita bahawa beliau telah menghantar surat kepada Abdullah meminta Perdana Menteri meletak jawatan.

Salah seorang pembantu Mukhriz ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan pengiriman surat berkenaan.

"Datuk (Mukhriz) bagaimanapun tidak merancang untuk mengadakan sebarang sidang akhbar setakat ini," katanya.

Mukhriz gagal dihubungi melalui telefon bimbitnya.

Dalam sidang medianya Isnin lalu di Pulau Pinang, Mukhriz hanya meminta pucuk pimpinan mengambil langkah segera bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap BN khususnya UMNO.

Dalam sidang akhbar berkenaan, beliau tidak meminta Abdullah meletakkan jawatannya.

0 ulasan: