Rabu, 5 Mac 2008

PAS HARAP AHLI SEDIA BERKORBAN NYAWA

BERITA HARIAN – (05-03-2008)

KOTA BHARU: Pas kini bukan setakat mengharapkan sumbangan kewangan daripada ahlinya, malah mahu mereka berkorban nyawa demi menyelamatkan Kelantan daripada jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum Sabtu ini.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini calon Pas bagi Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, berkata ahli Pas perlu sedar pilihan raya umum kali ini adalah perjuangan hidup mati parti itu.

Katanya, perjuangan kali ini untuk mempertahankan tok guru (Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) dan kalau diminta memberi sumbangan, mereka hendaklah rela berbuat demikian.

"Ahli Pas diminta jangan menunggu peluang untuk mengundi lagi. Namun begitu harus berhati-hati kerana ini adalah perjuangan hidup mati, perjuangan mempertahankan tok guru.

"Kalau diminta untuk memberi sumbangan, kita hendaklah bersedia untuk berbuat demikian dan kalau diminta korban nyawa, korbanlah nyawa demi mempertahankan (Pas) di Kelantan," katanya.

Beliau berucap pada majlis ceramah di Dataran Stadium, di sini, malam kelmarin. Hadir sama Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz dan calon bebas yang bertanding atas tiket Pas di Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali

Wan Abdul Rahim mendakwa persaingan menghadapi pilihan raya di Kelantan kali ini bukan lagi antara Pas dengan Umno, sebaliknya membabitkan perjuangan menentang orang luar.

"Kita tidak rela hidup dalam tahanan orang luar. Anak Kelantan tidak rela orang luar datang mengajar kita di bumi sendiri," katanya.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz menuduh Umno berfikiran sempit disebabkan tidak pandai menyelesaikan masalah kaum Cina di Kelantan ketika memerintah Kelantan sebelum ini.

"Saya berjaya menyelesaikan masalah kaum Cina itu tetapi saya tidak faham fikiran Umno macam mana. Nasib baik ambo tidak terbabit dengan Umno. Pemikiran mereka sempit seperti lubang tempurung jantan," katanya.

Sepanjang ceramah perdana yang berlangsung malam kelmarin, semua penceramah yang tampil berucap melemparkan pelbagai tohmahan dan kata-kata kesat terhadap pemimpin BN khususnya Umno .

Setiap kali penceramah mengeluarkan kata-kata kesat dan bersifat penghinaan kepada pemimpin Umno, hadirin menyambutnya dengan laungan takbir.

0 ulasan: