Khamis, 6 Mac 2008

SYARIKAT REDLAND BUAT LAPORAN POLIS - CEK PALSU

SINAR HARIAN – (06-03-2008)


KOTA BHARU - Satu laporan polis telah dibuat oleh Syarikat Redland Group Of Companies berhubung pengedaran surat dan cek palsu bernilai hampir RM2 juta kepada imam di seluruh negeri Kelantan yang menggunakan nama syarikat tersebut sebagai pengeluar cek berkenaan.


Cek bernilai RM2,000 diedarkan kepada setiap imam sebagai habuan untuk menyampaikan khutbah dan menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN), kononnya atas arahan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa kepada syarikat berkenaan.


Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Redland Group Of Companies, Datuk Ismail Hassan berkata, beliau amat terkejut apabila dimaklumkan oleh pihak Bank Muamalat cawangan Kota Bharu berhubung beberapa orang imam yang cuba menunaikan cek palsu menggunakan nama syarikatnya itu pagi semalam.


“Cek-cek berkenaan dikesan palsu kerana syarikat saya tidak mempunyai satu akaun pun di Bank Muamalat cawangan
Kota Bharu ini.


“Setelah diteliti, surat yang diedarkan adalah palsu kerana tidak menyerupai logo dan ‘letter head’ yang syarikat saya gunakan serta nama Rokiah Ahmad yang memegang jawatan Pegawai Kewangan sebenarnya tidak wujud pun sebagai kakitangan syarikat saya,” jelasnya semasa sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu selepas membuat laporan polis, semalam.


Tambahnya, setelah disiasat cek berkenaan tidak dikeluarkan oleh pihak bank kerana mempunyai nombor siri yang sama pada setiap cek dan tandatangan tidak menyamai cek yang ditandatanganinya.


“Saya berasa amat kesal dengan perbuatan tidak bermoral ini kerana ia merupakan satu tindakan yang melampau yang boleh menjejaskan imej syarikat saya serta nama baik Datuk Seri Annuar Musa.


“Hal ini sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa Kerajaan Barisan Nasional telah memberi ganjaran RM2,000 melalui syarikat saya kepada imam-iman di negeri ini untuk menyokong parti tersebut. Sehingga hari ini, sebanyak lapan imam telah menunaikan cek tersebut,” katanya.


Ujar beliau, pihak berkenaan juga turut mencetak sampul surat yang berlogokan Redland Group of Company.


Menurutnya lagi, ini merupakan satu langkah untuk memberi gambaran buruk BN sebagai sebuah kerajaan yang menipu kerana janji-janji yang diberikan tidak kesampaian dan imej syarikatnya yang telah di ‘lembu hitamkan.’


Ismail juga memohon kepada pihak yang telah menerima cek tersebut supaya menyerahkannya kepada pihak pengurusan bank atau pihak polis untuk siasatan lanjut.

Selain itu, Ismail juga menyatakan bahawa tindakan ini menunjukkan wujudnya golongan yang ingin merosokkan reputasi syarikatnya.


“Saya tidak mempunyai musuh peribadi dan tidak mempunyai niat jahat dengan orang lain. Saya berharap agar pihak berkenaan tidak membuat fitnah kepada orang yang tidak bersalah. Isu ini merupakan agenda politik,” katanya lagi.

0 ulasan: