Khamis, 6 Mac 2008

MARA PERUNTUK RM5.7 JUTA TAMBAH PREMIS NIAGA


UTUSAN MALAYSIA – (06-03-2008)

PASIR PUTEH 5 Mac – Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperuntukan RM7.5 juta untuk membina Rumah kedai di tiga jajahan di negeri ini sepanjang tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Ketua Pengarah Mara, Datuk Nam Marthini berkata, ia bagi membantu memastikan penyertaan bumiputera secara aktif dalam bidang perniagaan dan keusahawan terutama di bandar dan pekan akan berterusan.

“Ia akan melibatkan pembinaan projek di jajahan Kuala Krai, Machang dan Rantau Panjang,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Plaza Pasir Puteh di sini petang semalam.

Plaza tersebut berharga RM8 juta itu yang mengandungi 53 lot untuk disewakan kepada bumiputera dan dirasmikan oleh Pengerusi Mara, Brig Jen (B) Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin.

Nam berkata, tahun ini sahaja Mara telah membina 18 projek premis perniagaan yang terdiri tiga kompleks, lapan arked, tiga bazar, dua medan niaga dan dua kawasan industri Mara di Kelantan yang kesemuanya menyediakan sebanyak 479 lot.

Dalam hubungan itu, tambah beliau, Mara menggalakkan para penyewa mewujudkan persatuan agar segala permasalahan dan idea dalam memajukan perniagaan dapat digerakkan secara bersama.

Beliau berkata, salah satu faktor kurangnya penglibatan kaum bumiputera dalam bidang keusahawanan disebabkan kurangnya pendedahan terhadap realiti dunia perniagaan yang sebenarnya.

Dalam usaha menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan, katanya, Mara sejak dahulu lagi telah menyediakan latihan dan kursus jangka pendek yang praktikal dan diyakini dapat memberi kemahiran asas bagi mereka yang berminat.

0 ulasan: