Khamis, 6 Mac 2008

PAK LAH : ANWAR TIDAK BERTANGGUNGJAWAB


UTUSAN MALAYSIA – (06-03-2008)

PULAU PINANG 5 Mac – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan pemimpin tulen kerana tindak-tanduknya menunjukkan beliau seorang yang tidak bertanggungjawab.

Perdana Menteri berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu telah ditolak oleh UMNO yang menunjangi Barisan Nasional (BN).

‘‘Dia tidak penting kepada saya, tidak penting kepada UMNO. Dia tidak ada kawan dalam UMNO sebab itu dia lawan UMNO.

‘‘Dia nak cuba balik (sertai) dalam UMNO... no way. Kita mempunyai pemimpin yang cukup untuk mengetuai UMNO. Tidak payah tunggu dia balik, biar dia cari kawan daripada kalangan pembangkang.

‘‘Dengan UMNO cakap lain, dengan orang lain cakap lain, semua dia nak untung,’’ kata Abdullah ketika berucap di hadapan 5,000 penduduk Cina pada Majlis Malam Satu Hati Bersama Rakyat di Jalan Padang Tembak, Air Itam di sini malam ini.

Menurut Abdullah, Anwar sebenarnya gemar menabur janji kosong dan bukanlah pemimpin yang boleh dipercayai oleh rakyat negara ini.

‘‘Kalau kita (BN) berjanji, kita akan tunaikan. Itulah BN yang merupakan barisan tulen dan mendukung prinsip satu hati, satu tujuan, satu negara,’’ katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya ketika berkempen di Keningau, Sabah, Abdullah tidak menolak kemungkinan perancangan yang dibuatnya semasa menjadi Menteri Pelajaran dahulu tidak diteruskan oleh Anwar yang menggantikannya.

Beliau berkata, pemimpin pembangkang itu mungkin tidak mahu warga pendidikan mengingati jasa dan pembaharuan yang cuba dilakukannya.

‘‘Semasa saya Menteri Pelajaran dahulu didapati banyak sangat skim guru yang menyebabkan satu-satu skim itu mencapai tahap gaji maksimum terlalu awal dan selepas itu gaji tidak boleh naik lagi.

‘‘Oleh itu saya merangka skim yang lebih baik, tetapi selepas dilantik sebagai Menteri Pertahanan dan diganti oleh Anwar, dia lupakan. Akibatnya yang rugi adalah guru-guru kerana kita bertujuan membaiki nasib guru,” katanya.

0 ulasan: