Sabtu, 15 Mac 2008

ISU DEB : 3,000 BANTAH HAPUS DEB DI PENANG


UTUSAN MALAYSIA – (14-03-2008 )

PULAU PINANG 14 Mac – Kira-kira 3,000 anggota pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan penyokong UMNO menyertai perhimpunan aman di sini hari ini bagi membantah tindakan kerajaan negeri pimpinan DAP yang mahu menghapuskan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di negeri ini.

Perhimpunan pada pukul 2.30 petang itu bermula di pekarangan Masjid Simpang Enam berhampiran Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini.

Ia berlangsung selama sejam dan tamat setelah disuraikan oleh Unit Simpanan Persekutuan (FRU) kira-kira pukul 3.30 petang.

Hampir 300 anggota polis berpakaian seragam dan preman ditugaskan mengawal pergerakan orang ramai di situ. Polis merampas beberapa kain pemidang yang dibawa oleh peserta perhimpunan tersebut.

Beberapa pemimpin tertinggi UMNO Pulau Pinang turut serta dalam perhimpunan itu yang pada mulanya dirancang untuk menyerahkan memorandum bantahan berhubung isu DEB kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Antara pemimpin UMNO yang menyertai perhimpunan itu ialah bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Datuk Azhar Ibrahim; ADUN Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin; ADUN Permatang Berangan, Shahbudin Yahya; Ketua UMNO Bahagian Tanjong, Datuk Ahmad Ibni Hajar; Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir serta para pemimpin Pemuda UMNO Pulau Pinang, Wanita UMNO dan Puteri UMNO.

Bagaimanapun, penyerahan memorandum itu terpaksa dibatalkan atas nasihat polis bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Menurut Abdul Rashid, bantahan itu dilakukan bagi memberi amaran kepada DAP agar tidak menjadikan DEB sebagai alasan untuk kerajaan negeri DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyempitkan peluang orang Melayu di Pulau Pinang untuk bersaing dari segi ekonomi.

Beliau berkata, DEB dilaksanakan bagi menjaga hak orang Melayu sekalipun ia katakan tidak berlaku adil kepada kaum lain.

“Kenapa DAP mahu menjadikan isu DEB sebagai senjata untuk mengetepikan orang Melayu sedangkan kerajaan negeri sebelum ini tidak pernah menjadikannya alasan untuk menyisihkan kaum lain di Pulau Pinang?" kata Abdul Rashid kepada pemberita selepas demonstrasi itu berakhir.

Selasa lalu, kerajaan negeri yang baru ditubuhkan hasil gabungan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan ia akan membebaskan pentadbiran Pulau Pinang daripada pelaksanaan amalan DEB.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan pertamanya selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang mendakwa, DEB menjadi punca kronisme, rasuah dan tidak efisien.

Menurut Abdul Rashid, DAP cuba bermain sentimen dengan orang Melayu apabila ia ‘mengusik’ DEB yang matlamatnya adalah untuk menjaga kepentingan orang Melayu.

Sementara itu, Musa menyifatkan perbuatan pimpinan DAP yang kini menguasai kerajaan negeri Pulau Pinang sungguh biadap.

“DAP sengaja bermain dengan api agar orang Melayu terus ditindas, hak keistimewaan mereka dicabar dan memberi peluang kepada kaum lain bermaharajalela menguasai ekonomi.

“Tindakan DAP itu mengguris perasaan orang Melayu. Saya berharap orang Melayu di Pulau Pinang bersatu membantah pelaksanaan dasar ekonomi versi DAP itu,” katanya.

Ahmad pula mendedahkan DAP cuba mewujudkan garis pemisah antara kaum Melayu dan kaum lain di Pulau Pinang dengan mewujudkan dasar ekonomi mengikut acuan mereka.

Beliau mempertikaikan kenapa DAP cuba memainkan isu DEB sedangkan selama ini dasar itu diterima baik oleh semua masyarakat di negara ini.

“Saya menyeru ahli-ahli UMNO bersatu menyatakan bantahan agar suara orang Melayu didengar oleh DAP,” katanya.

0 ulasan: