UTUSAN MALAYISA – (17-03-2008)
KERAJAAN Pusat pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tetap komited untuk meneruskan projek pembangunan walaupun di negeri yang ditawan oleh parti pembangkang.
Sikap berdada lapang Perdana Menteri itu menunjukkan keyakinan beliau terhadap projek-projek dilancarkan sebelum pilihan raya umum lalu merupakan projek yang berdaya maju untuk rakyat dan ekonomi negara.
Adalah merugikan jika dasar pembangunan wilayah yang mempunyai strategi jangka panjang untuk membuka peluang pekerjaan dan perniagaan terhenti semata-mata negeri berkenaan berada di bawah kerajaan pembangkang.
Kita berasa bangga kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mengamal budaya politik balas dendam. Kita perlu ingat bahawa masih ramai pengundi yang masih menyokong kepimpinan BN.
Apatah lagi banyak rakyat yang belum menjadi pengundi masih memerlukan bantuan dan perhatian melalui projek-projek pembangunan yang telah dirancang oleh Kerajaan Pusat.
Jelas, kepentingan nasional menjadi keutamaan Perdana Menteri. Kini terpulang kepada kerajaan negeri-negeri pembangkang sama ada mahu bersama-sama Kerajaan Pusat memajukan negeri mereka atau tidak.
Sesungguhnya tugas mencabar kerajaan BN sekarang adalah untuk meneruskan dasar mesra perniagaan sedia ada untuk menarik pelabur dan menawarkan pelbagai insentif bagi menarik lebih banyak pelaburan langsung asing.
Kita sedia maklum negeri utama yang digemari pelabur asing iaitu Selangor dan Pulau Pinang kini berada di bawah kerajaan pembangkang.
Sebab itu, tanggungjawab kerajaan pimpinan pembangkang sekarang untuk meyakinkan pelabur datang melabur di negeri berkenaan. Cabaran ini harus mereka pikul.
Dalam tempoh pemerintahan kerajaan pembangkang di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan mulai sekarang, kita ingin lihat sejauh mana pimpinan dapat meningkatkan ekonomi rakyat dan negeri masing-masing.
Ini masanya untuk mereka buktikan kepada rakyat, adakah mereka mampu menjadi kerajaan yang diharapkan oleh rakyat atau sebaliknya.
Namun, dalam memastikan kejayaan pelaksanaan projek-projek Kerajaan Pusat di negeri berkenaan, sebagaimana kata Perdana Menteri adalah perlu hubungan komunikasi dengan negeri-negeri yang dikuasai pembangkang itu diteruskan.
Ini kerana kejayaan dua buah koridor pembangunan iaitu Wilayah Ekonomi Koridor Utara dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur akan melibatkan kepimpinan di peringkat negeri pembangkang. Mereka yang akan memainkan peranan penting dalam melaksanakan program-program berkaitan.
Sebab itu, hubungan baik antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri berkenaan amat penting. Ini kerana Kerajaan Pusat bertindak sebagai penyedia peruntukan dan perancangan menyeluruh manakala kerajaan negeri sebagai pelaksana.
0 ulasan:
Catat Ulasan