Khamis, 6 Mac 2008

ANWAR ENGGAN LAKSANA KENAIKAN PANGKAT GURU

BERITA HARIAN – (06-03-2008)

Penasihat PKR tak terus dasar selepas ambil alih Kementerian Pelajaran

KENINGAU: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim sanggup menghalang pelaksanaan sesuatu dasar negara semata-mata kerana takut orang lain menjadi lebih popular, ketika berada dalam kerajaan.

Perdana Menteri berkata, pernah satu ketika Anwar yang baru mengambil alih jawatan Menteri Pelajaran daripadanya pada 1986, dia enggan melaksanakan skim kenaikan pangkat guru cemerlang yang sudah dirancang kerana takut guru akan mengingati jasa beliau.

Katanya, ketika menjadi Menteri Pelajaran pada 1984, iaitu sebelum jawatan itu diambil alih Anwar pada 1986, beliau merancang menyediakan kenaikan pangkat guru cemerlang yang memberi peluang mereka menikmatinya tanpa perlu berpindah ke Jabatan Pelajaran.

Abdullah berkata, beliau merancang menyediakan peluang untuk guru terbabit menikmati kenaikan pangkat kerana skim berkenaan ketika itu tidak menyeluruh, tetapi tidak sempat melaksanakannya kerana bertukar ke Kementerian Pertahanan.

"Sewaktu saya menjadi Menteri Pelajaran, ada banyak skim gaji dan kenaikan pangkat guru. Saya kata, kita kena sediakan peluang kenaikan pangkat mereka hingga peringkat lebih tinggi tanpa perlu berpindah ke Jabatan Pelajaran.

"Bagaimanapun, saya kemudian bertukar ke Kementerian Pertahanan dan yang menggantikan saya ialah orang baru, Anwar Ibrahim. Yang sudah saya rancang, Anwar tidak buat. Sengaja dia tidak mahu buat, kerana dia fikir, kalau dia buat, orang akan ingat Pak Lah," katanya.

Abdullah berkata demikian ketika berucap pada majlis Penutupan Pameran Bergerak Program Yayasan Sabah Bersama Rakyat dan taklimat Koridor Pembangunan Sabah (SDC) di Dewan Masyarakat Keningau, di sini semalam.

Program itu dihadiri kira-kira 15,000 orang. Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah; Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan dan calon BN bagi Parlimen Tenom serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan, Tambunan, Bingkor, Melalap dan Kemabong.

Pada majlis itu, Abdullah turut melancarkan cadangan pembinaan Pusat Kraftangan Keningau, cadangan Kompleks Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Jatropha Kebangsaan milik SLDB dan menyampaikan kunci rumah kepada tiga penerima skim perumahan mesra rakyat.

Abdullah berkata, ketika menjadi Menteri Pelajaran, beliau juga menyusun program memperkukuh integrasi di kalangan pelajar dengan menjemput Jawatankuasa Persatuan Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Jiao Zong) berbincang dengan kementerian, walaupun menyedari pertubuhan itu komited dengan sistem pendidikan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina).

Bagaimanapun, katanya, selepas Anwar mengambil alih kementerian itu, program itu tidak dilaksanakan, menyebabkan Dong Jiao Zong menyalahkan kerajaan apabila timbul masalah integrasi pelajar selepas itu.

"Dong Jiao Zong kata, inilah kerajaan, apabila kita sudah sepakat, dia (kerajaan) tidak mahu buat. Yang tidak buat ialah Anwar. Yang sudah hendak dibuat, tidak dibuat. Saya bukan hendak menyerang peribadi beliau tetapi masyarakat guru mungkin tidak tahu cerita ini," katanya.

Kelmarin, ketika melancarkan projek Pintar Interactive Teaching and Learning System (i-Pintar) di Sekolah Kebangsaan Hashim Awang, Kepala Batas, Pulau Pinang, Abdullah yang selama ini berdiam diri berhubung kritikan Anwar terhadap kerajaan pimpinannya, secara terbuka berkata Anwar gemar berdolak-dalik dan menabur pelbagai janji tetapi tidak pernah dikotakan.

Abdullah dilaporkan berkata, Anwar sering mengkritik pentadbiran beliau dan BN sekarang, sedangkan ketika berada di dalam kerajaan dulu, tiada sebarang pembaharuan dilakukannya.

Perdana Menteri berkata, beliau terpaksa membuka cerita mengenai Anwar kerana tindakan bekas Timbalan Perdana Menteri itu dianggapnya sebagai sudah keterlaluan.

Abdullah berkata, selama ini beliau berdiam diri apabila Anwar mengkritik kerajaan pimpinannya, tetapi kini sedia membalasnya supaya rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah dan janji yang ditabur pemimpin pembangkang itu semata-mata untuk menarik sokongan pengundi.

0 ulasan: