UTUSAN MALAYSIA – ( 07-03-2008)
JIKA disebut mengenai Machang pasti ramai yang teringat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemuning yang dikatakan menjadi pemisah untuk membolehkan Barisan Nasional (BN) kembali menerajui Kelantan, apabila ia tewas hanya dengan perbezaan dua undi.
Bukan itu sahaja, gambaran keputusan Machang juga agak unik kerana Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi kerusi Parlimen melalui Datuk Sazmi Miah, tetapi tewas di ketiga-tiga kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum 2004 dengan majoriti yang kecil.
Semua ini berlaku bukan disebabkan faktor kekuatan Pas, tetapi masalah dalaman yang menekan sehingga menjejaskan perjalanan jentera parti dan keputusannya menutup impian BN untuk berkuasa walaupun rakyat sebenarnya sedia berubah.
Masalah ini diperingatkan semula oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menghadiri satu majlis di Sekolah Menengah Sains Machang baru-baru ini.
Beliau berkata, kawasan Parlimen Machang sepatutnya boleh menyumbang kepada penguasaan BN di Kelantan pada Pilihan Raya Umum 2004, tetapi tewas dengan undi majoriti yang sangat tipis disebabkan gejala 'cah keting'.
Namun senario tersebut berubah sama sekali pada pilihan raya kali ini apabila BN Machang dibarisi senarai calon yang mendapat restu semua pihak termasuk memenuhi permintaan akar umbi.
Keputusan tepat dalam hal pemilihan calon itu dengan jentera parti pada kedudukan terbaik dan penerimaan masyarakat yang lebih terarah kepada calon BN berbanding Pas atau Parti Keadilan Rakyat (PKR), ia boleh menjadi petunjuk kepada penguasaan di Machang dan Kelantan.
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Machang, Jazlan Yaakob berkata, UMNO dan BN Machang berada pada kedudukan terbaik menghadapi pilihan raya umum 8 Mac ini melihat kepada moral ahli dan reaksi rakyat.
BN akan diwakili Sazmi yang akan mempertahankan kerusi Parlimen manakala Dr. Mohd. Asri Mejah bagi DUN Pulai Chondong, Datin Rahimah Mohamad (Temangan) dan Ahmad Jazlan (Kemuning).
Sazmi akan ditentang oleh calon PKR, Saifuddin Nasution Ismail, manakala Mohd. Asri berhadapan dengan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Zulkifli Mamat (Pas), Rahimah dicabar oleh Dr. Mohd. Fadzli Datuk Hassan (Pas) dan Ahmad Jazlan berhadapan Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman (Pas).
Katanya, selain kesediaan rakyat untuk berubah, kandungan manifesto BN yang menjanjikan pembelaan nasib rakyat secara menyeluruh diyakini akan menguatkan lagi pendirian rakyat untuk berubah.
“Bantuan untuk ibu tunggal yang terpaksa menyara persekolahan anak-anak bersendirian, peluang untuk wanita berniaga dan membantu penjaja melalui skim mikro kredit.
“Juga menghapuskan tunggakan cukai pintu dan cukai tanah, bantuan untuk belia menimba kemahiran merupakan antara berpuluh langkah yang menyentuh rakyat secara langsung di sini,” ujarnya.
Jazlan berkata, jika diukur dari segi pembangunan dalam Parlimen Machang, hampir kesemuanya melibatkan usaha kerajaan termasuk pembinaan kampus cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejak tahun 1995.
“Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM300 juta untuk pembangunan kampus tersebut dan penduduk tempatan mendapat limpahan daripadanya termasuk meningkatkan nilai hartanah, mencambahkan peluang perniagaan dan pekerjaan di samping mewujudkan pusat pertumbuhan baru,” ujarnya.
Bukan itu sahaja, jumlah siswazah seramai 5,000 orang yang ada pada masa kini dijangka terus bertambah sehingga 12,000 apabila bangunan baru siap dibina di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
UiTM memberikan impak sosial, ekonomi dan pendidikan yang besar kepada penduduk dan tanpanya Machang akan terus ketinggalan dan bandarnya akan kekal dengan sebutan `Kampung Machang' di kalangan rakyat Kelantan.
Selain itu, penduduk di kawasan itu juga mendapat rahmat yang besar dari segi sistem perhubungan apabila Kerajaan Pusat turut menyiapkan pembinaan jalan pintas untuk ke Kota Bharu dan Kuala Lumpur.
0 ulasan:
Catat Ulasan