Isnin, 17 Mac 2008

TANGAN-TANGAN KOTOR UMNO YANG CUBA DISEMBUNYIKAN


HARAKAH - (17-03-2008)

Saya melihat Malaysia sekarang menuju ke arah satu perubahan baru politik dan ekonomi serta sosial rakyat sekiranya Barisan Alternatif (BA) pandai merancang dasar berkaitan dengannya dengan sempurna dan berkesan.

Perubahan itu boleh dinamakan reformasi rakyat selepas dasar pemerintahan Barisan Nasional (BN) gagal menyelesaikan kemelut Malaysia yang didominasi pelbagai kaum dan kecenderungan politik serta budaya hidup mereka selepas 50 tahun negara ditadbir parti itu.

Umno sendiri gagal memberi keyakinan konkrit bahawa sudah 50 tahun orang Melayu dibangunkan kehidupan mereka dengan keselesaan hidup yang memberangsangkan sedangkan sebenarnya keselesaan hidup itu diberikan kepada golongan elit politik Umno dan kroni kepimpinan tertinggi parti itu.

Kehidupan orang Melayu sendiri tidak berubah di bawah Umno, menjadi manusia yang mudah ditipu berkali-kali dengan janji-janji kosong pemimpin Umno kononnya untuk kemajuan dan pembangunan bangsa Melayu sedangkan realitinya indah khabar dari rupa.

Orang Melayu akan kaya dan senang sekiranya menjadi pengampu pemimpinnya dan sentiasa memberi sumbangan rasuah bila diperlukan untuk kepentingan politik dan peribadi pemimpin-pemimpin terbabit.

Sebagai balasannya orang Melayu terbabit biasanya golongan usahawan dan kontraktor binaan, diberi habuan projek melalui tender tertutup yang sudah ditentukan berapa peratus habuan perlu diberikan kepada pemimpin Umno yang meluluskan projek berkenaan.

Bahkan pemandu kenderaan kerajaan pun menerima habuan itu dari projek terbabit. Saya diberitahu oleh seorang kontraktor Umno dalam satu pertemuan di Kuala Terengganu baru-baru ini bahawa terdapat projek tertentu di Terengganu, yang pemimpin tertentu Umno mahukan RM4 juta untuk diluluskan.

Jika kontraktor berkenaan sanggup memberikan wang sejumlah itu kepada pemimpin itu maka projek berkenaan akan diberikan kepada beliau.

Ini sebagai satu contoh amalan korupsi bermaharajalela di kalangan pemimpin Umno kononya demi survival politik pemimpin terbabit.

Amalan inikah yang membawa kemajuan dan kemakmuran kepada negeri dan negara? Amalan inikah yang membawa perubahan dan ketamaddunan dalam budaya hidup masyarakat Melayu?

Budaya kotor ini menjadikan rakyat Melayu tidak berubah dan membiarkan kepincangan pentadbiran politik Umno menghantui kehidupan rakyat di saat orang Melayu sendiri terpinggir dari mengecapi arus kemajuan secara adil sehingga jurang golongan miskin dan kaya dirapatkan.

Kemelut kepincangan ekonomi dan politik ini juga berlaku di kalangan kaum lain termasuk Cina dan India.

Taukeh-taukeh Cina di Terengganu ketika ditemui amat jengkel dengan penguasaan projek pembangunan di negeri itu apabila ia dikuasai oleh syarikat-syarikat tertentu sahaja yang ada kaitannya dengan Perdana Menteri dan Menteri Besar negeri itu yang lalu.

Begitu juga keadaannya di negeri-negeri lain. Kesedaran rakyat semua kaum dalam hal ini antara lain mendorong mereka membuat perubahan agak besar juga dalam pilihan raya umum yang lalu apabila lima negeri menjadi milik Barisan Alternatif (BA) termasuk Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kedah dan Kelantan yang kekal di tangan PAS.

Sebenarnya, rakyat secara umumnya sudah tidak percaya dengan BN/Umno untuk terus mengurus negara ini kerana banyak bukti lain memperlihatkan kegagalan parti itu memacu negara ke arah lebih baik, adil dan saksama.

Kemakmuran dan keamanan yang dibina Umno ialah untuk memberi keselesaan yang tidak terhingga kepada kroni-kroni parti itu merompak harta kekayaan rakyat termasuk royalti minyak dan gas Terengganu.

Tangan kotor pemimpin Umno telah menyebabkan kekayaan negeri itu diselewengkan untuk membina projek yang bukan untuk rakyat termasuk Monsoon Cup dan Taman Tamadun Islam Pulau Wan Man Kuala Terengganu, melalui saluran Dana Khas Jabatan Permbanguan Persekutuan.

Yang kenyang ialah kuncu-kuncu Khairy Jamaluddin dan Idris Jusoh sebagai Menteri Besar sebelum ini.

Saya percaya penemuan gas di perut bumi Kelantan juga akan dieksploitasi Umno supaya kerajaan PAS Kelantan berputih mata melihat ianya dibawa keluar dari bumi itu tanpa mengembalikannya kepada negeri dan rakyat negeri itu.

Ini adalah kerja-kerja terkutuk Umno yang amat dibenci rakyat mungkin dilaksanakan jika arus kesedaran pemimpin parti itu belum pulih sehingga realitinya parti itu tidak akan mengembalikan hasil bumi kepada rakyat negeri itu secara langsung melalui pentadbiran yang sah dipilih rakyat.

Ancaman di Pulau Pinang pula menunjukkan kedegilan Umno menongkah arus kebangkitan rakyat dengan mengancam serta mendesak Kerajaan Pusat tidak menyalurkan projek pembangunan secara berterusan dipercayai akan memakan diri mereka sendiri apabila rakyat negeri itu akan memulangkan paku buah keras kepada parti itu dalam pilihan raya umum ke-13.

Ia untuk menyatakan bahawa parti itu bukan bermusuh dengan DAP dan kerajaan Pulau Pinang sahaja tetapi ia bermusuh dengan rakyat negeri itu sendiri.

Di Terengganu tunjuk perasaan menentang kerajaan boleh memberi kesan sedikit sebanyak kerana ramai di kalangan rakyatnya masih dibelenggu pemikiran beku dan jumud acuan Umno tetapi tidak di Pulau Pinang kerana parti itu bukan dominan penduduk negeri itu yang majoritinya kaum Cina.

Reformasi rakyat melalui pilihan raya umum ke-12 walaupun tidak sepenuhnya di negara ini sekurang-kurangnya mengajar Umno/BN supaya menjadi parti yang prihatin masalah rakyat bukan biadap terhadap mereka.

0 ulasan: