Khamis, 6 Mac 2008

MARA SEDIAKAN RM1 B BANTU USAHAWAN


SINAR HARIAN – (06-03-2008)


PASIR PUTEH - Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyediakan peruntukan RM1 bilion tahun ini untuk membantu usahawan bumiputera melalui pinjaman mudah.


Pengerusi MARA, Briged Jeneral (B) Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin berkata, berbanding tahun 2007 yang mana jumlah maksima pinjaman yang disediakan hanya RM30,OOO seorang, tahun ini ianya ditingkatkan kepada RM50,000.


“Maksud pinjaman mudah di sini ialah ia tidak memerlukan penjamin, cagaran dan faedah, kecuali kepada pinjaman besar,” jelasnya yang mensasarkan lebih 60,000 dilahirkan tahun ini.


Katanya, kemudahan yang disediakan membolehkan lebih ramai usahawan dapat dilahirkan sekali gus mengeluarkan mereka daripada kemiskinan.


“MARA membelanjakan RM600 juta untuk membantu usahawan tahun 2007, jumlah tersebut ditambah ekoran rekod bayar balik yang memberangsangkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Plaza Pasir Puteh dekat sini, semalam.

Bagi menjamin usahawan MARA berkembang maju, Abdul Hamid berkata, pihaknya akan memantau perkembangan mereka dengan membantu menjaga akaun perniagaan atau mencari lokasi strategik.


“Kita akan terus membantu sehingga mereka mampu berdikari, itulah usaha yang kita lakukan dan kita berharap kepada yang berminat agar dapat berhubung dengan Pegawai MARA daerah masing-masing,” jelasnya sebelum menyampaikan cek kepada usahawan MARA.


Katanya lagi, dalam tempoh Rancangan Malaysia kesembilan (RMK9), kementerian meluluskan 29 projek bersambung dan 50 projek baru bernilai RM308,652,000 kepada MARA.

Di Kelantan sahaja katanya, 37 projek fizikal dilaksanakan MARA membabitkan 18 projek infrastruktur perniagaan dan 19 projek pendidikan.

0 ulasan: