Selasa, 11 Mac 2008

PRU 12 : MIMPI NGERI BARISAN NASIONAL


UTUSAN MALAYSIA – (11-03-2008)

IBARAT pepatah ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’, begitulah nasib Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum kelmarin.

Ketika semua mata, tenaga dan wang ringgit tertumpu kepada usaha untuk merampas balik Kelantan, mempertahankan Terengganu serta mengembalikan semula kerusi-kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ‘tercicir’ ke tangan pembangkang pada pilihan raya tahun 2004, tidak ramai yang mahu ambil kisah ‘amaran awal tsunami’ bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Amarannya mudah. Menurut Daim, tiga negeri dikategorikan sebagai panas. Pulau Pinang, Kedah dan Selangor perlu diberi perhatian, katanya.

Tak tahu di mana silapnya, amaran itu sekadar tinggal amaran. Barangkali sikap ambil mudah dan ‘yakin keterlaluan’ bahawa semua berada di bawah kawalan menjadi puncanya.

Kelmarin, 8 Mac, BN hilang majoriti dua pertiga dan sekadar membentuk kerajaan dengan majoriti mudah yang hanya dapat dicapai menjelang dini hari.

Tiga negeri panas yang disebut-sebut Daim jatuh ke tangan pembangkang. Pemerintahan bertukar daripada BN kepada pembangkang.

DAP menyempurnakan mimpi mereka yang tertangguh sejak sekian lama untuk membentuk kerajaan negeri di Pulau Pinang dengan memberi ‘pukulan maut’ kepada Gerakan dan MCA.

Kelantan pula kekal di tangan pembangkang untuk lima tahun lagi.

Perak menyertai senarai negeri panas keempat yang turut bertukar kerajaan negeri daripada BN kepada pakatan pembangkang.

Tidak ramai yang menyedari Wilayah Persekutuan turut tumbang kepada pembangkang apabila 10 daripada 13 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dimenangi oleh pakatan pembangkang.

Negeri Sembilan hampir-hampir menyertai senarai tersebut tetapi diselamatkan dengan majoriti mudah.

Perlu diingat tiga daripada negeri tersebut iaitu Pulau Pinang, Perak dan Selangor adalah negeri ‘maju’ bertaraf lubuk emas.

Bertambah menarik, Kedah dan Perak kini menyertai Kelantan dengan dua Menteri Besar barunya adalah daripada wakil rakyat parti Pas.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berstatus ‘nyawa-nyawa ikan’ sebelum ini memberi impak besar bukan sahaja di kerusi Parlimen tetapi juga di peringkat DUN hampir di semua negeri. Malah, Selangor akan mempunyai Menteri Besar daripada parti itu.

Pembangkang terutama Pas dan PKR turut menapakkan ‘batu asas’ masing-masing yang lebih kukuh hampir di setiap negeri sama ada di peringkat Parlimen atau DUN termasuk di Johor, Perak dan Negeri Sembilan.

Gelombang tsunami politik kali ini cukup ganas dan tidak mengenal calon.

Ia menenggelamkan calon-calon BN dan pada masa yang sama mengangkat calon-calon daripada pakatan pembangkang termasuk calon di bawah tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Calon bidan terjun, calon yang baru sehari bergelar ahli politik serta calon Bebas tiba-tiba menang besar dalam pilihan raya.

Selain daripada UMNO yang menjadi korban, ‘tsunami’ itu hampir-hampir melumpuhkan beberapa parti komponen BN yang lain.

MCA, MIC dan Parti Progresif Penduduk (PPP) menerima padah yang paling buruk.

MCA yang bertanding 40 kerusi Parlimen hanya memenangi 17 kerusi manakala MIC pula menyaksikan presiden, timbalan presiden dan dua naib presidennya kalah teruk.

Parti itu hanya memenangi tiga daripada sembilan kerusi Parlimen dan tujuh daripada 19 DUN yang ditandingi.

PPP yang diberi satu kerusi Parlimen dan satu DUN turut ‘hanyut’.

Pilihan raya kali ini menyaksikan banyak ‘tragedi’ kepada calon BN daripada pelbagai latar belakang dan ia akan terus kekal sebagai ‘mimpi ngeri’ sekurang-kurangnya untuk lima tahun lagi.

0 ulasan: