Isnin, 17 Mac 2008

ANTARA TEPUNG, PROJEK MEGA


UTUSAN MALAYISA – (17-03-2008)

Pengalaman Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum yang baru lalu tersangat pahit untuk ditelan oleh pemimpin-pemimpin barisan tersebut. Namun yang pahit itu selalunya ubat, dan ubat barangkali dapat menyembuhkan penyakit.

Memang betul angin perubahan bertiup dengan kencang pada kali ini. Kerusi-kerusi yang dianggap kalis ribut juga turut tercabut dan diterbangkan. Bagi negeri-negeri yang mempunyai penampan angin (wind breaker) bahana angin puting beliung perubahan ini tidaklah seteruk mana.

Sungguhpun begitu kita harus sedar bahawa kerja-kerja untuk membina penampan angin ini bukanlah perkara enteng, yang boleh dibuat dalam masa 13 hari, atau mana-mana tempoh yang dibenarkan untuk berkempen.

Walau apa pun nampaknya usaha membina penampan angin cukup berkesan dilakukan di negeri-negeri paling utara dan selatan negara ini.

Barang sudah tentu berkurangnya kuasa politik UMNO telah mencalar ego kesepakatan BN (suatu masa disebut Perikatan) yang telah memerintah negara sejak 50 tahun yang lalu.

Tak mengapa, ini bukan jatuh terjelepuk, bukan juga tergolek dog, tetapi hanya tersadung akar rambutan di tengah halaman. Jangan malu. Bangun, sapu punggung, dan melangkah semula dengan lebih bergaya. BN masih memegang 140 atau 63.06 peratus daripada 222 kerusi Parlimen dan 307 atau 60.79 peratus daripada 505 kerusi Dewan Undangan Negeri. Angka-angka ini masih besar. Masih gah.

Cuma agaknya BN merasa kurang selesa untuk memerintah dengan kelebihan majoriti mudah buat kali pertama dalam sejarah demokrasi berparlimen negara.

Apakah isu-isu paling popular yang dilaungkan dalam kempen-kempen dan apa pula isu-isu yang dirasakan paling berkesan mempengaruhi para pengundi?

Ternyata pokok persoalan masih berlegar di takuk lama (tidak termasuk kata-mengata dan umpat-mengumpat). Rasuah, perkauman, sistem penyampaian kerajaan yang tidak efisien, jenayah yang semakin berleluasa, Suruhanjaya Pilihan Raya dituduh memihak kepada kerajaan, sistem keadilan yang tidak kesampaian, kronisme, warna feudalisme dalam pelantikan ahli majlis bandaran dan empayarisme dalam pemilihan calon (kerusi boleh diserahkan kepada waris atau keluarga terdekat melalui pertalian perkahwinan) adalah di antara isu-isu yang diketengahkan oleh calon-calon parti pembangkang.

Calon-calon BN pula menekankan soal pengalaman mentadbir sebagai kekuatan mereka.

Ada juga sesekali terdengar persoalan kaum dibangkitkan, walaupun ia merupakan insiden-insiden terasing. Namun ia tidaklah berada pada tahap dan skala yang memerlukan sebarang tindakan drastik. Isu alam sekitar juga turut dibangkitkan.

Isu-isu yang terbukti paling akrab dengan kehidupan rakyat negara ini iaitu tepung, beras, gula dan minyak banyak disentuh.

Nampaknya walaupun hanya tinggal 12 tahun untuk mencapai sasaran negara maju apabila munculnya fajar pada tahun 2020, politik kita tetap berada di perepang lama. Jangan salah faham, ini tidak bermakna ia membawa konotasi yang tradisional. Tidak, cuma ia membayangkan apakah sebenarnya yang dapat menyentuh hati dan sanubari mereka.

Jelas projek-projek mega, penglibatan dalam isu-isu global dan intelektual dan kejayaan membawa pelaburan asing secara langsung (FDI) ke dalam negara belum tentu dapat menambat hati rakyat.

Kita harus menerima hakikat bahawa rata-rata rakyat masih terdiri daripada orang-orang kecil dan ada yang masih berumah dan berkampung di daerah-daerah yang kerdil lagi terpencil.

Walaupun sekali pandang si kecil kelihatan lemah dan tidak berkuasa, tetapi jikalau mereka bersatu, ia akan membawa gelombang yang boleh mendatangkan musibah.

Musibah politik berakhir dengan Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor tumbang ke tangan pembangkang, sementara Pas melanjutkan kekuasaannya di Kelantan. Fenomena ini merebak ke Wilayah Persekutuan di mana 10 daripada 13 kerusi Parlimen di situ disapu oleh PKR dan DAP. Jadi, orang kecil dengan keperluan-keperluan kecil jangan sekali-kali diperkecilkan.

Meminjam kata-kata Lim Eng Guan: "Dia orang gergasi, kami hanya semut" yang diucapkan beliau dua minggu sebelum pilihan raya umum seolah-olah rayuan undi simpati yang amat berkesan.

Yang membentuk negara ini adalah negeri-negeri, di mana terdapat wilayah-wilayah dan daerah-daerah. Di dalam daerah-daerah pula terdapat mukim-mukim dan kampung-kampung. Di sinilah tempat kediaman sebahagian besar rakyat Malaysia.

TuntutanRakyat kecil jarang memikirkan perkara-perkara besar seperti kereta api rel maglev (magnetic levitation) antara kota, tambatan perahu layar antarabangsa atau projek menghantar pelancong kita ke angkasa lepas.

Sungguhpun dari satu sudut semua ini berupaya menonjolkan imej negara di mata dunia, namun dari sosok yang lebih intim, kesemuanya tidak mampu menyelesaikan tuntutan asas kehidupan rakyat.

Di mana kos sara hidup semakin meningkat, harga bahan-bahan asas yang menjamin kelangsungan hidup seperti tepung, beras, gula dan minyak terus-menerus tumpang melambung. Lebih banyak orang kecil yang memikirkan perkara-perkara kecil semacam ini. Inilah yang mereka lihat setiap hari, sebaik bangun daripada tidur.

Apabila isu-isu yang melibatkan bahan-bahan kecil ini tidak mampu ditangani sekian lama, sebagai manusia biasa, mereka akan jadi bosan, menyampah dan jengkel.

Dan sekiranya kejengkelan rakyat kecil ini diterjemahkan ke dalam bentuk undi, kesannya boleh mencemaskan, seperti yang kita saksikan dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 yang berlangsung pada 8 Mac lalu.

Tidak sampai 40 peratus daripada lebih 10 juta rakyat yang mendaftar sebagai pengundi menjadi ahli parti-parti politik secara rasmi. Ke mana perginya yang lain? Golongan ini tidak menjadi ahli mana-mana parti politik tetapi tetap mengundi setiap tiba musim pilihan raya.

Inilah sebenarnya golongan majoriti senyap yang mampu menggugat parti yang memerintah.

Hakikatnya ini bukan soal lama. Semuanya adalah hal-hal evergreen, oleh kerana semuanya menyentuh kehidupan rakyat. Secanggih mana pun negara dan masyarakat berkembang, isu-isu tepung, beras, gula dan minyak tetap relevan. Ada negara di dunia yang tumbang hasil kesan langsung daripada kenaikan harga barangan ini.

Jangan lagi timbul keadaan di mana barangan ini didapati berkurangan atau harganya naik secara mendadak. Sesuatu yang menyangkut perut harus dipandang secara serius oleh kerajaan.

Rakyat yang lapar atau merasa tertekan dengan harga barangan makanan yang tidak terkawal boleh mendatangkan kesan langsung yang buruk.

Bagi minyak petrol pula, yang menjadi salah satu sasaran kemarahan rakyat, suatu jalan keluar bagi menanganinya harus dicari. Memang benar harga komoditi tersebut telah meningkat secara mendadak di pasaran dunia.

Pada masa yang sama rakyat tidak memerlukan matematik tulen untuk mengetahui kenaikan harga menghasilkan keuntungan yang luar biasa oleh syarikat petroleum negara. Apakah tidak ada sesuatu yang positif berupaya dilakukan menerusi keuntungan yang berlipat ganda ini?

Pesanan kepada UMNO dan BN, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, ingat-ingatlah perkara-perkara kecil. Sekiranya isu-isu yang menyelubungi bahan keperluan ini tidak ditangani kesannya boleh jadi tumpas dan terhenyak, sehingga hendak bangun pun jadi tidak mungkin lagi. Atau memilih untuk terus menganggap semua ini sebagai isu-isu kenit dan remeh.

0 ulasan: