Isnin, 17 Mac 2008

DEBDISALAH GUNA PEMIMPIN, KRONI BN


HARAKAH - (17-03-2008)

Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) mempunyai pendirian yang jelas dan tegas terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB). Seperti yang dijelaskan oleh Ketua Umum keADILan, Anwar Ibrahim dalam sebuah artikel 20 halaman dan diterangkannya melalui beberapa kenyataan serta ceramah umum, dan ditegaskan dalam beberapa dokumen Parti, termasuk Manifesto Pilihan Raya, kami berhasrat untuk menggantikan DEB dengan Agenda Ekonomi Malaysia.

Selepas dilaksanakan hampir 40 tahun, DEB ternyata sudah ketinggalan zaman. Ia disalahgunakan oleh segelintir pemimpin Umno-BN serta kroni-kroni mereka untuk merompak kekayaan negara bagi mengkayakan diri sendiri atas nama seluruh rakyat Melayu.

Ia telah mengakibatkan amalan diskriminasi kaum, bertentangan dengan semangat memberi keadilan dan kesaksamaan kepada semua rakyat Malaysia, terutama sekali mereka dari golongan miskin, terpinggir dan terbiar dari semua kaum.

Agenda Ekonomi Malaysia berhasrat untuk:

(a) memperkenal dan melaksanakan dasar pembahagian kekayaan negara yang adil, seimbang serta saksama;

(b) memerangi dan akhirnya membenteras amalan jijik korupsi, kronisme serta nepotisme dan memastikan pemberian kontrak serta projek dilakukan secara terbuka dan telus;

(c) meneruskan dasar memberi pertolongan kepada golongan Bumiputera yang miskin serta terbiar tetapi pada masa yang sama memberi peluang yang sejajar kepada golongan bukan Bumiputra yang miskin, terpinggir serta terbiar, atas asas keperluan dan bukan kemakan kaum;

(d) menggunakan sumber kekayaan negara untuk menyediakan kemudahan sosial yang lebih baik terutama pendidikan, kesihatan dan perumahan untuk golongan miskin dan susah tanpa mengira latar belakang kaum;

dan (e) menjana pembangunan yang menguntungkan rakya serta membina kapasiti bersaing supaya Malaysia dapat berdiri sama tinggi dengan semua negara maju, bermula dengan yang di Asia.

Pemimpin-pemimpin Umno-BN dan media mereka kuasai yang menuduh kononnya Parti Keadilan Rakyat tidak mempunyai pendirian terhadap DEB dan cara-cara untuk mempertingkat taraf hidup orang Melayu yang miskin, terpinggir dan tercicir sebenarnya berdusta dan segaja cuba hendak menipu dan menyelewengkan perhatian rakyat.

Kami menegaskan dasar memberi keutamaan untuk kebajikan golongan miskin, terpinggir akan lebih banyak memberikan keuntungan kepada rakyat Melayu, kerana merekalah yang merupakan majoriti paling ramai di dalam kategori ini.

* Dr Syed Husin Ali ( husinsa23@yahoo.comAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya ) ialah Timbalan Presiden keADILan

0 ulasan: