Selasa, 18 Mac 2008

RAKYAT MAHU UMNO BERANI BUAT PERUBAHAN


UTUSAN MALAYSIA – (18-03-2008)

KEPUTUSAN pilihan raya kali ini adalah yang terburuk dalam sejarah negara. Keputusan ini juga adalah isyarat jelas kemarahan rakyat sehingga calon bidan terjun parti pembangkang khususnya PKR berjaya memenangi pilihan raya.

Isyarat kemarahan rakyat ini yang agak menghairankan kerana ditunjukkan oleh ketiga-tiga kaum Melayu, India dan Cina. Jika pilihan raya umum 1999 BN kehilangan dua buah negeri, tetapi isyarat kemarahan rakyat hanya ditunjukkan oleh kaum Melayu ketika itu. Bagaimanapun BN masih menguasai majoriti 2/3 di Parlimen.

Adalah tidak mustahil UMNO dan BN akan kehilangan kuasa pada pilihan raya umum ke-13 nanti, jika tiada perubahan yang berani dan drastik dilakukan. Rakyat tidak mahu lagi perubahan hanya bersifat luaran atau kosmetik.

UMNO adalah tulang belakang kepada BN untuk dirawat dan dibuat perubahan yang drastik dan berani. Ahli-ahli UMNO yang bertanggungjawab untuk menentukan masa depan parti itu. Jika tersilap langkah, tidak mustahil UMNO akan menjadi parti yang tidak relevan di masa akan datang.

UMNO masih mempunyai banyak ruang dan waktu untuk memperbaiki dan memperkasakan parti ini kembali. UMNO perlu rasional dan bersikap terbuka di atas apa sahaja cadangan pemulihannya.

Janganlah mengulangi kesilapan dengan menghukum mereka yang memberi cadangan yang tidak sependapat dengan pucuk pimpinan.

Umpamanya menggantung keahlian atau memecatnya. Ini boleh melemahkan dan mengucar-ngacirkan parti. Jika ada ahli yang ikhlas menegur dengan cara yang baik, maka bersikap terbuka, jangan cepat melatah dan masih mahu menunjukkan kuasa untuk mengambil tindakan.

Mana-mana ahli yang menjadi liabiliti kepada parti dan membawa persepsi negatif perlulah direhatkan buat sementara waktu seperti tidak melantik ke jawatan Kabinet atau kerajaan.

Ini boleh meredakan kemarahan rakyat. Begitu juga dengan mereka yang kalah.

Dasar-dasar kerajaan juga perlu dilihat dan dikaji semula supaya biarlah projek-projek pembangunan dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi. Rakyat pada hari ini makin cerdik dan matang. Mereka tidak mahu lagi menu dan resipi sahaja, tetapi mereka mahukan juadahnya.

Mereka tidak mahu slogan semata-mata, tetapi isi kepada slogan itu yang lebih penting. Selain itu, pengagihan kekayaan juga perlu dirasai oleh semua tanpa meminggir mana-mana kaum.

Bangunkan masyarakat bumiputera yang masih ketinggalan terutama di luar-luar bandar dan di pedalaman. Isu harga minyak dan kenaikan barang juga perlu diselesaikan segera.

Dasar pengurangan subsidi jelas tidak diterima oleh rakyat, maka sewajarnya kerajaan mengekalkan dasar pemberian subsidi, di samping mencari sumber-sumber lain untuk menampung ekonomi negara.

Projek-projek pembangunan yang menguntungkan rakyat janganlah ditangguhkan. Umpamanya projek landasan berkembar elektrik dari Ipoh-Padang Besar dan Seremban-Johor Bahru. Projek-projek yang menimbulkan kontroversi perlu dibatalkan atau dikaji semula. Umpamanya projek kereta api laju KL-Singapura.

Koridor-koridor ekonomi yang telah dirancang perlu dibuat penambahbaikan supaya rakyat mendapat manfaat secara langsung. Koridor WPI di Johor juga perlu dibuat pembetulan jika mengundangkan beberapa kontroversi.

Umpamanya, kerajaan membatalkan penubuhan jawatankuasa peringkat menteri Malaysia dan Singapura dalam projek WPI. Ini boleh meredakan kemarahan rakyat dan persepsi buruk kepada kerajaan.

UMNO perlu kembali kepada landasan yang betul. Janganlah pemimpin UMNO dilihat berjuang kerana untuk mengaut kekayaan dan kuasa. Sehinggakan rakyat melihat pemimpin UMNO sebagai tidak cekap, rasuah, kronisme dan nepotisme.

Berjuanglah kerana agama, bangsa dan negara. Biro agama UMNO perlulah aktif memainkan peranan. Jalankan program-program agama dan usrah kepada ahli dan pemimpin UMNO. Supaya mereka yang tersasar akan kembali kepada matlamat asal perjuangan.

Rakyat sedang memerhatikan setiap perubahan yang akan dibuat oleh kerajaan BN sekarang. Gunakanlah peluang yang ada untuk memperbetulkan keadaan.

Ambillah pandangan nasihat daripada bekas-bekas pemimpin dan veteran UMNO. Jangan pinggirkan dan berlagak sombong kepada bekas pemimpin. Kerana pengaruh mereka masih kuat di peringkat akar umbi.

ALNORULHADI AB. HAMID,

Kota Bharu, Kelantan.

0 ulasan: