Khamis, 6 Mac 2008

HARAKAH : ANAK-ANAK MUDA KELANTAN BERSEMANGAT BANTU PAS


HARAKAH – (06-03-2008)

KOTA BHARU, 6 Mac (Hrkh) - Penglibatan golongan remaja dan orang muda dalam kerja-kerja pilihan raya kali ini amat menggalakkan lantaran kefahaman dan kesedaran yang dimiliki.

Tinjauan Harakahdaily ke pos-pos kepunyaan PAS dan BN sekitar bandar Kota Bharu mendapati rata-rata anak muda di bandar ini menaruh minat terhadap gerak kerja secara luar biasa berbeza dengan sambutan yang diberikan di pos-pos BN kesunyian.

Ketika melalui pos sekitar Batu 2, Jalan Kuala Krai di dalam Dun Bunut Payong, penulis berhenti singgah di salah satu pos yang beroperasi di tepi jalan. Kelihatan kira-kira 20 petugas PAS sedang sibuk menjalankan tugas daripada menyusun atur tugas memasang bendera mengikut lokaliti dengan menggunakan komputer riba, sehinggalah tugas mengklip bendera dan poster calon dalam tempoh kempen.

Pos Bunut Payong ketika dikunjungi Harakahdaily dibantu kira-kira sepuluh petugas yang terdiri daripada orang muda yang kelihatan begitu bersemangat membantu kerja-kerja di sana.

Mohd Farouq Aiman Ahmad, 20, yang belum bekerja bersama rakan-rakannya sibuk membantu menyiapkan bendera PAS untuk digantung selepas jam 12 tengah malam yang merupakan masa kemuncak operasi dijalankan.

Ketika ditanya mengenai sebab beliau memilih untuk membantu PAS untuk melakukan kerja-kerja di situ, jawapannya ringkas tetapi cukup bermakna.

"Saya ikhlas, kak," ujarnya.

Apabila digesa alasan lain, jawapannya tetap jua sama. Daripada penampilan beliau yang berambut panjang, bergelang dan berantai, mungkin sukar untuk menyangka bahawa beliau adalah penyokong PAS yang komited.

Seawal jam 10 malam beliau bersama rakan-rakannya termasuk Mohd Zakuan Mohd Amin, 20, keluar mencari pos PAS yang memerlukan tenaga tanpa mengira lokasi apatah lagi upah yang diberikan kerana kerja-kerja tersebut tidak mempunyai peruntukan sebarang bayaran.

"Ini kerja sukarela, tiada siapa yang memaksa.Kalau duduk di rumah pun tiada faedahnya, baik datang tolong-tolong di pos ini. Sekurang-kurangnya dapat juga membantu apa yang diperlukan," ujar Mohd Zakuan yang memilih pos tersebut sebagai pusat operasi memandangkan pos berhampiran rumahnya memiliki tenaga yang mencukupi bagi menjalankan tugasan bagi malam itu.

Selain itu, mereka juga turut berkongsi maklumat mengenai upah diberikan Umno-BN bagi melakukan kerja yang sama.

"Biasanya di kawasan bandar, boleh dapat sekitar RM15 saja. Tetapi kalau jika gantung bendera di luar bandar, boleh dapat sehingga RM40," kata salah seorang daripada mereka yang sedang khusyuk menggantung.

Penulis cuba menggesa anak-anak muda ini mengenai kebaikan yang bakal diperolehi mereka sekiranya BN berjaya menakluk negeri serambi mekah ini.

Namun mereka enggan mengulas lanjut, cuma sekadar berkata," Kita toksir (taknak) lah, buat apa semua tu.Kita sayang Kelantan di bawah tok guru, molek doh ni,"

Selain itu, terdapat petugas lain iaitu Mohd @ Mi Mat Husin, 48, Abdullah Wok, 60, menjelaskan bahawa pada kebiasaannya bilangan petugas akan meningkat menjelang tengah malam terutamanya dua atau tiga hari kempen akan berakhir, dan pada kebiasaannya terdapat 10 petugas pada setiap shift(giliran).

Bagi Mohamad Zalmani, 22,di pos Wakaf Siku pula beliau sangat berminat dengan kerja-kerja pilihan raya meskipun tiada sebarang habuan diberikan sekadar keropok, kuih-muih, air teh sebagai juadah penghilang mengantuk dan letih.

"Saya suka, lagipun semua tengah bersemangat nak buat kerja-kerja ni sebab kita toksir bagi Kelantan pada puak-puak BN," katanya. Rakannya, Yusri Daud, 32, pula menegaskan bahawa mereka juga mahu turut serta dengan kemeriahan pilihan raya ini kerana terasa tanggungjawab untuk menjaga negeri tersebut daripada ancaman BN.

"Nak buat apa dengan kemajuan BN? Apa yang ada sekarang sudah cukup," ujarnya. Penulis mengumpan jawapan tersebut dengan perbandingan yang dibuat BN di negeri lain.

Jawabnya, "Kita dah aman, tenang dan cukup dengan semua yang ada. Kita taknak ada masalah macam negeri lain, jauh dari keberkatan Allah."

Daripada 12 petugas, tujuh daripadanya adalah golongan muda remaja, bahkan terdapat juga di kalangan yang kurang upaya turut membantu. Mereka bersama empat petugas lain, Roslan Salleh, 40, Bakri Dollah, 46, Affendi Dollah, 40 dan Rosli Rashid, 37.

Masing-masing begitu bersemangat, apatah lagi menjelang hari-hari terakhir kempen pilihan raya.

Tinjauan ke pos BN pula kelihatan hambar, kosong dan tiada aktiviti dijalankan di pos tersebut. Bahkan ada juga yang cuba mengumpan dengan menyediakan hidangan yang lazat-lazat seperti barbeku ayam, kepada pemuda kawasan berhampiran untuk menyertai kerja-kerja di pos tersebut. Namun, tiada tindak balas diberikan.

Inilah situasi yang ditakuti pihak Umno-BN yang sudah kehilangan sokongan generasi muda di Kelantan yang jelas sudah matang dengan realiti sebenar di kelantan.

Mereka lebih arif dalam membuat perbandingan antara keadaan yang dinikmati di negeri tadahan wahyu dengan negeri lain yang diperintah BN.

0 ulasan: