UTUSAN
KETIKA parti-parti pembangkang sedang berkempen untuk menafikan penguasaan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12 Sabtu ini, pengundi pula perlu memikir sedalam-dalamnya mengenai kekuatan kerajaan yang bakal dibentuk selepas 8 Mac ini.
Masa masih ada untuk rakyat memikirkan betapa pentingnya kita memberikan kepercayaan kepada parti BN untuk menguasai kepimpinan di peringkat Pusat dan semua kerajaan negeri di negara ini.
Tujuannya untuk memastikan segala urusan pentadbiran dan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Lebih-lebih lagi pucuk pimpinan kerajaan sendiri mahukan supaya sebarang projek pembangunan yang dirancang untuk rakyat mesti bersifat menyeluruh dan tidak ada kawasan yang akan tertinggal.
Kejayaan
Sebab itu, hubungan akrab antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri amat penting kerana dalam pelaksanaan rancangan koridor, satu pihak bertindak sebagai penyedia peruntukan dan perancangan menyeluruh manakala satu pihak lagi iaitu di peringkat negeri sebagai pelaksana.
Matlamat rancangan koridor berkenaan adalah jelas iaitu untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan pembangunan ekonomi negeri-negeri agar ia selaras dengan pertumbuhan ekonomi di peringkat nasional.
Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri mesti bergerak bersama untuk menjayakan rancangan koridor itu dan dalam konteks politik di negara ini, kerajaan yang memerintah mesti datang daripada satu parti yang sama agendanya.
Mana mungkin kerajaan negeri yang dikuasai parti pembangkang dan tidak mempunyai persamaan pemikiran dengan Kerajaan Pusat dapat menerima bulat-bulat sebarang keputusan daripada Pusat.
Sudah tentu pemimpin pembangkang mempunyai ego tersendiri walaupun menyedari keputusan daripada Kerajaan Pusat itu amat penting terhadap rakyat di negeri berkenaan.
Pengalaman di Kelantan dan Terengganu serta Sabah yang pernah diperintah oleh parti pembangkang menyaksikan betapa sukarnya Kerajaan Pusat melaksanakan rancangan pembangunan sehingga terpaksa mewujudkan mekanisme lain bagi menyalurkan bantuan.
Perasaan curiga-mencurigai antara parti pemerintah dengan pembangkang pasti ada dan keadaan ini tidak memungkinkan mereka untuk bekerjasama, lebih-lebih lagi dalam urusan kewangan dan juga pengagihan projek pembangunan.
Pengundi harus fikir semasak-masaknya yang mana kita semua masih memerlukan pelbagai program pembangunan untuk meletakkan diri kita dan negara ini berstatus maju.
0 ulasan:
Catat Ulasan