Ahad, 30 Mac 2008

KEPENTINGAN MELAYU USAH DIKETEPIKAN


BERITA HARIAN : 30-03-2008

Pemimpin politik tak boleh pinggir 'bahasa rakyat' untuk pertahan survival masa depan

USAHLAH kita bercakaran lagi sesama sendiri selepas pilihan raya umum. Inilah masa untuk mengingatkan semua orang Melayu akan peribahasa carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga. Bak kata orang, biduk lalu kiambang pasti bertaut. Lagipun cincang air takkan putus.
Eloklah kita bercakap mengenai survival dan masa depan orang Melayu.

Ekoran rencana saya mengenai kuasa politik Melayu yang terhakis (16 Mac 2008), banyak komen yang saya terima, antaranya mengingatkan saya bahawa soal itu tidak relevan lagi. Saya diperingatkan bahawa orang Melayu tidak lagi perlu melihat soal kuasa politik mereka pada masa ini. Realiti semasa ialah, politik memporakperandakan orang Melayu, maka itu kita harus melihat di luar kerangka politik untuk menyelesaikan masalah orang Melayu. Seorang lain menulis, kita terlalu bergantung pada penyelesaian politik hingga terlupa ada jalan lain menyelesaikan masalah orang Melayu.

Saya juga diberitahu oleh beberapa orang penulis e-mel bahawa Agenda Melayu tidak lagi relevan masa ini. Kita harus melihat secara lebih terbuka kerana penekanan terhadap agenda seumpama itulah yang menimbulkan masalah pada Umno dan BN dalam pilihan raya yang terbaru. Keresahan dan rasa tidak puas hati kaum bukan Melayu selama ini ialah kerana dasar pro-Melayu.

Apakah pandangan sedemikian dianggap arus perdana sebelum ini? Nampaknya orang Melayu sendiri sudah lantang menanyakan apakah dasar pro-Melayu masih perlu dikekalkan. Ada orang Melayu sendiri yang nampaknya secara keras menolak Dasar Ekonomi Baru (DEB) walau dalam apa jelmaan sekalipun. Malah mereka menganggap kerajaan harus meletakkan dasar am untuk semua, serta mengamalkan meritokrasi sepenuhnya.

Saya cuba melihat semua ini secara positif. Pada masa ini orang Melayu mempunyai keyakinan baru yang luar biasa. Banyak yang beranggapan mereka sudah mempunyai kemampuan untuk bersaing dengan siapa saja. Mereka sudah bersedia melangkah berani berdepan dengan persaingan bukan saja dari kaum lain di negara ini, tetapi juga di pentas global. Mereka sudah bersedia mengetepikan payung dan perlindungan politik untuk menjadi kompetitif dan berjaya.

Malah banyak yang berasakan tidak perlu lagi sistem yang memberikan kelebihan kepada syarikat Melayu dalam konteks pemberian tender atau kontrak kerajaan. Mereka percaya sistem yang sedia ada tidak cukup telus dan mengundang korupsi dan pilih kasih.


Mungkin ada benarnya pandangan sedemikian.
DEB yang bermula selepas Peristiwa 13 Mei 1969 sudah luput tarikhnya. Pelbagai dasar selepas itu adalah replika DEB. Tetapi hasilnya tidaklah seperti dijangkakan. Sudah pasti ada kebocoran dan ketirisan dalam pelaksanaannya, jikalau tidak masakan matlamatnya tidak tercapai sepenuhnya. Atau mungkin kita terlalu menumpukan pada pemilikan hak milik modal atau ekuiti hingga terlupa pada kejayaan lain berkaitan dengan dasar itu. Seperti yang ditunjukkan oleh Profesor Datuk Dr Ismail Md Salleh dalam satu kertas kerja beliau, memang pemilikan modal saham syarikat berhad (pada nilai tara) bagi orang Melayu/Bumiputera menurun daripada 19.3 peratus pada tahun 1990 kepada 18.9 peratus pada 2004. Tetapi kita harus ingat bahawa dari segi nilai, milik modal itu bertambah daripada RM20.9 bilion pada 1990 kepada RM63 bilion pada 2000 dan RM100 bilion empat tahun kemudian.

Tetapi semua itu tidak menggambarkan keadaan 'yang sebenarnya'. Pertambahan nilai modal tidak banyak maknanya jikalau kesannya tidak turun. Kerancakan bursa saham tidak ada gunanya jikalau rakyat tidak mendapat sebarang tempias. Pelbagai rancangan pembangunan wilayah yang baru tidak bererti pada rakyat yang bertanya apa maknanya semua itu pada mereka. Tidak ada gunanya syarikat besar mengumumkan keuntungan luar biasa jikalau banyak pekerja diberhentikan atas nama memastikan produktiviti dan menjadikan syarikat lebih efektif dengan tenaga kerja yang kecil. Tidak bermakna jikalau kita mengisytiharkan kejayaan syarikat utiliti sekiranya air kotor, tarif elektrik meningkat dan kualiti perkhidmatan lain tidak mencapai tahap yang diharapkan.

Rakyat melihat peniaga, usahawan dan orang kaya berlumba-lumba mendapat peluang sedangkan anak-anak mereka diberikan VSS, dibuang kerja atau tidak mendapat pekerjaan langsung. Mereka melihat senarai orang kaya baru yang semakin bertambah sedangkan kos barang keperluan meningkat bagaikan tanpa kawalan. Kemakmuran tidak diukur daripada kejayaan material semata-mata. Kemakmuran ada kaitannya dengan kualiti hidup. Bagi rakyat miskin, kualiti hidup secara mudah bermaksud kemampuan untuk meneruskan usaha memberi makan pakai dan menyekolahkan anak-anak. Kemewahan tidak ada dalam perbendaharaan hidup mereka. Kemakmuran yang dijanjikan dalam manifesto politik tidak ada maknanya jikalau mereka berdepan dengan kesukaran ekoran kos hidup yang tinggi, tiada jaminan kerja atau kadar jenayah yang tinggi.

Inilah 'bahasa rakyat' yang kadangkala dilupakan pimpinan politik. Kadang-kadang dek terlalu asyik melihat ke langit, terlupa rumput di bumi. Dek terlalu banyak bercakap mengenai hal besar-besar dan gah, terlupa kenyataan rakyat di bawah. Dek terlalu asyik hidup bermewah terlupa penderitaan rakyat jelata. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyedari hal ini, dan memperingatkan BN dan pimpinan Umno agar belajar daripada peristiwa penolakan rakyat terhadap BN pada pilihan raya lalu.

Memang kita boleh membuat keputusan drastik menolak DEB atau apa saja dasar seumpamanya. Kita boleh mengikut lenggok DAP yang secara terbuka menolaknya. Tetapi orang Melayu harus ingat, dalam ketidaksempurnaan DEB atau apapun dasar seumpama itu, orang Melayu masih perlukan pembelaan dan bantuan. Usaha pembinaan Masyarakat Perniagaan dan Perindustrian Melayu (MPPB) masih perlu berjalan. Langkah menambah modal milik Melayu dan Bumiputera tidak harus berhenti di tengah jalan. Soal perbezaan atau dispariti pendapatan di antara orang Melayu dan bukan Melayu harus ditangani. Begitu juga usaha membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum harus diteruskan.

Lihatlah kemiskinan di banyak tempat di kawasan orang Melayu. Rumah kediaman yang sepatutnya terlihat dalam filem Melayu tahun 50-an dan 60-an masih kedapatan. Orang yang hidup kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang masih besar jumlahnya. Kemiskinan tegar masih berleluasa di kalangan orang Melayu. Sekian banyak usaha membantu orang miskin tidak harus lagi mengambil kira pertimbangan politik. Orang miskin mesti ditolong. Program seperti PPRT harus buta politik dan buta kepentingan.

Pada waktu yang sama, peniaga Melayu terutama dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih perlukan pertolongan. Rangkaian perniagaan orang Melayu masih lemah. Bank masih masih kurang membantu. Bantuan dalam bentuk pembangunan vendor, program francais, Skim Modal Teroka PUNM, program mentor, bantuan Tekun, skim usahawan luar bandar dan lain-lain masih diperlukan lagi. Orang Melayu masih jauh ketinggalan dalam pelbagai bidang perniagaan, terutama yang bersifat peruncitan.

Itu belum lagi jurang digital dan pendidikan. Masa depan akan banyak ditentukan oleh keupayaan menguasai maklumat. Maklumat datangnya dari ICT. Orang Melayu liat pula menguasai teknologi itu. Internet hanya penting bagi orang Melayu untuk membaca kecaman, fitnah dan mengutuk bangsa sendiri. Bukan untuk tujuan menimba ilmu dan maklumat sebenar.

Memang sedap bercakap perlunya orang Melayu keluar dari mentaliti subsidi dan payung. Turunlah ke bawah untuk melihat kenyataan sebenar. Orang Melayu sebagai kaum majoriti masih perlu dasar yang promereka. Jikalau tidak mereka akan terus terpinggir dari kejayaan arus perdana. Membiarkan kelompok minoriti menguasai ekonomi akan membawa musibah yang besar masa depan. Kita sepatutnya belajar dari kes hubungan kaum akibat ketidakseimbangan kuasa ekonomi.

Nampaknya dalam
iklim politik masa ini, orang Melayu sendiri mengetepikan kepentingan Melayu.

0 ulasan: