Khamis, 6 Mac 2008

PKR KELANTAN KEMBALI BERGOLAK


UTUSAN MALAYSIA – (06-03-2008)

KOTA BHARU 5 Mac – Kekuatan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kelantan mula menunjukkan tanda-tanda akan lumpuh apabila hari ini, dua ketua bahagiannya bertindak meninggalkan parti tersebut.

Ketua Bahagian PKR Pengkalan Chepa, Abdul Hamid Ahmad dan Ketua Bahagian PKR Gua Musang, Norazman Mat Ghani bertindak demikian bersama-sama lebih 100 anggota parti itu.

Berikutan langkah tersebut, mereka juga mengisytiharkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya umum Sabtu ini.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Norazam berkata, langkah keluar daripada PKR itu dilakukan selepas berasa kecewa dengan tindak-tanduk pimpinan pusat yang dianggap membelakangkan pimpinan negeri dalam menentukan pemilihan calon.

Sehubungan itu, kata beliau, peluang untuk memenangi lapan kerusi termasuk 5 dewan Undangan Negeri yang diagihkan kepada PKR terlalu tipis.

‘‘Saya yakin calon PKR yang bertanding pada pilihan raya kali ini sukar untuk memperoleh kemenangan kerana tidak mendapat sokongan.

‘‘Semua ini berlaku kerana pandangan ketua-ketua bahagian tidak diambil kira bagi menentukan calon-calon tersebut,’’ katanya.

Selain itu katanya, beliau juga tidak berpuas hati kerana semua keputusan hanya dirujuk kepada Pengarah Strategik PKR, Saifuddin Nasution Ismail bukan PKR negeri.

‘‘Kami juga kecewa kerusi asal PKR iaitu Parlimen Kota Bharu diserahkan kepada Pas sedangkan ia sepatutnya diwakili oleh Pengerusi KPR Kelantan, Nik Mahmood Nik Hassan,’’ katanya.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya telah membuat memorandum yang ditandatangani oleh sebahagian besar ketua bahagian untuk membincangkan soal calon tetapi tidak dipedulikan.

Abdul Hamid pula berkata, kepercayaan PKR Kelantan kepada pucuk pimpinan parti

sebenarnya sudah hampir lenyap.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Awang Adek Husein menyifatkan tindakan kumpulan pemimpin PKR itu memberikan petanda yang baik untuk kemenangan BN di negeri ini.

Katanya, ia juga merupakan satu kemenangan moral yang begitu besar dan sekali guas memantapkan lagi kesungguhan rakyat Kelantan terhadap agenda BN merampas negeri itu daripada Pas.

0 ulasan: