HARAKAH – (07-03-2008)
KOTA BHARU, 6 Mac (Hrkh) - Umno Kelantan telah menyiapkan kabinet bayangan kerajaan negeri Kelantan sebagai membuktikan kesahihan bahawa mereka akan menakluk negeri serambi mekah itu daripada PAS selepas 18 tahun.
Menurut sumber yang boleh dipercayai, satu majlis 'reherseal' atau simulasi bagi majlis angkat sumpah Menteri Besar serta exco kerajaan negeri akan diadakan pada hari esok, 6 Mac anjuran Umno-BN Kelantan.
Bahkan, mereka juga telah menyiapkan senarai profil diri exco-exco baru yang akan mentadbir Kelantan yang akan dipersembahkan kepada sultan Kelantan sebagai usaha meyakinkan pihak istana akan kemampuan parti tersebut memerintah Kelantan bagi menggantikan PAS.
"Ia adalah gambaran kepada keyakinan bahawa mereka akan menang pilihan raya kali ini," demikian menurut sumber itu.
Pada masa sama, mereka juga akan mengisytiharkan kemenangan Umno-BN pada Sultan.
Selain itu, terdapat maklumat yang diterima bahawa kira-kira 30,000 orang baru mendaftar atau memperbaharui kad pengenalan yang memohon kepada Jabatan Pendaftaran Negara, bakal menjadi pengundi BN di Kelantan pada 8 Mac ini.
"Kesemua mereka adalah rakyat Thailand dan Indonesia yang diberi taraf kewarganegaraan Malaysia dan akan dibenarkan menetap di Kelantan dengan syarat mereka perlu mengundi BN di kelantan," kata sumber itu.
Oleh itu, tidak hairanlah jika Awang Adek tanpa segan silu seolah-olah yakin bahawa beliau akan menang dan akan ditabalkan sebagai menteri besar, katanya lagi.
Program pertemuan pimpinan Umno Kelantan bersama anak-anak Kelantan di perantauan sebelum ini adalah sebagai program 'lakonan' bagi mengelabui mata rakyat umum.
Sumber tersebut menjelaskan bahawa program tersebut melibatkan rakyat Thailand dan Indonesia yang berlakon sebagai anak-anak Kelantan di perantauan.
Mereka ini diangkut ke Selangor dan Kuala Lumpur, yang kemudiannya mereka ini berkonvoi beramai-ramai ke Kelantan.
"Pada masa sama, Pengerusi Badan perhubungan Umno Kelantan, Dato' Annuar Musa mengadakan banyak program perantau balik Kelantan. Ini bukan program perantau pulang tetapi pengundi hantu," katanya.
Sumber tersebut turut menyebutkan, setiap pegawai JPN memiliki satu senarai nama pemohon rakyat Thailand dan Indonesia ini. Jika diperhatikan, nama- nama pegundi hantu ini saling tak tumpah macam nama-nama orang kelantan.
0 ulasan:
Catat Ulasan